'Pertarungan' sebenar di Terengganu antara UMNO, Pas - Ahmad

Ahmad (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku 'Wanita Desa Ke Global' di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada petang Isnin. - Foto Facebook Ahmad Said
Ahmad (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku 'Wanita Desa Ke Global' di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada petang Isnin. - Foto Facebook Ahmad Said
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti-parti komponen yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu perlu menerima hakikat bahawa 'pertarungan' sebenar dalam pilihan raya itu hanya melibatkan dua parti dominan iaitu Pas dan UMNO.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, hakikat itu perlu diterima kerana ia adalah gambaran terhadap situasi sebenar dalam setiap pilihan raya yang diadakan di negeri tersebut.

Justeru, katanya, parti komponen termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berlapang dada terutama melibatkan keputusan agihan kerusi yang telah dicadangkan UMNO Terengganu kepada pimpinan tertinggi di peringkat pusat, baru-baru ini.

"Bagi pihak kita, agihan kerusi itu sudah selesai. Biar pucuk pimpinan yang putuskan sebab keputusan itu ada justifikasi tersendiri.

"Dia (PKR) pun kena ukur baju di badan sendiri berapa kekuatan dia, berapa cawangan dia ada... berapa ramai ahli dia. Macam UMNO di Kuala Terengganu sahaja kita ada 20 lebih cawangan tapi dia berapa cawangan yang ada.

"Jangan nak 'glamour' saja... saya kata kita nak menang. Jawatan lain banyak lagi... (kalau tak terpilih calon) boleh dilantik senator atau di mana-mana GLC (syarikat berkaitan kerajaan negeri).

"Nak cakap banyak takut pihak sana (PKR) terasa hati, tapi itu lah hakikatnya kena terima... pertarungan sebenar memang antara Pas dan UMNO sahaja (kalau di Terengganu)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku 'Wanita Desa Ke Global' di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada petang Isnin.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya yakin boleh menang di beberapa kerusi yang telah dikenal pasti di Terengganu.

Ujar beliau, parti tersebut mempunyai beberapa kelebihan antaranya menjadi parti pilihan di kawasan urban yang diduduki banyak pengundi profesional dan berpendidikan tinggi seperti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.

"Kita yakin boleh menang kerana beberapa faktor seperti demografi, 'track record' dan hasil tinjauan kaji selidik yang dilakukan," katanya.