Malaysia di kedudukan ke-20 dunia dalam Strong Starters Ranking

Malaysia berada di tangga ke-20 dunia dalam senarai ‘Strong Starters Ranking’.
Malaysia berada di tangga ke-20 dunia dalam senarai ‘Strong Starters Ranking’.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia berada di tangga ke-20 dunia dalam senarai ‘Strong Starters Ranking’ pada laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 yang diterbitkan Startup Genome.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, ranking ke-20 yang diraih Malaysia dalam usaha menyediakan ekosistem syarikat pemula (startups) itu adalah kedudukan yang membanggakan dan meyakinkan.

Berdasarkan laporan itu juga, Malaysia kekal di kedudukan 21-30 di Emerging Ranking Ecosystem seperti pada 2022.

"Pencapaian itu adalah hasil aktiviti pembiayaan yang rancak kepada syarikat pemula," menurut kenyataan itu.

MOSTI memaklumkan pengiktirafan Malaysia di bawah Global Startup Ecosystem Report 2023 itu adalah bukti keberkesanan usaha yang dipelopori kementerian untuk membangunkan ekosistem berpandukan Pelan Hala Tuju Ekosistem Malaysia (SUPER) 2021-2030 yang diterajui agensi penyelaras syarikat pemula Cradle Fund Sdn Bhd.

Pendekatan yang lebih berstruktur dengan Cradle selaku agensi penyelaras pusat dengan kerjasama daripada badan-badan kerajaan berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti telah membina asas yang kukuh untuk terus memacu perkembangan lestari ekosistem syarikat pemula Malaysia, menurut MOSTI.

Setakat ini, MOSTI telah melaksanakan SUPER menerusi Cradle Fund bagi menyokong dan memberi manfaat kepada lebih 3,000 syarikat pemula sebagai usaha memperbaiki dan mempertingkatkan pertumbuhan ekosistem bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).

"Sasaran SUPER adalah untuk memberi sokongan kepada 5,000 syarikat pemula menjelang 2025,” menurut MOSTI.

MOSTI memaklumkan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia telah mencecah AS$46 billion bagi tempoh bermula separuh pertama 2020 hingga 2022.

Ini meletakkan nilai ekosistem Malaysia antara lima ekosistem teratas bagi ekosistem "emerging” dan nilai ekosistem Malaysia mengatasi Copenhagen, Guangzhou, Minneapolis, Bucharest dan Mexico City. - Bernama