Teruskan usaha perbetulkan fakta sejarah yang terpesong - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan meneruskan usaha memperbetulkan fakta sejarah berkaitan Kedah dan Pulau Pinang yang didakwa dipesongkan sejak sebelum merdeka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, eksploitasi terhadap sejarah Kedah yang dilakukan sejak pemerintahan British wajar diperbetulkan selepas pakar sejarah menemui fakta baharu hasil daripada pelbagai kajian.

Menurutnya, sekiranya pembetulan itu tidak dilakukan oleh generasi kini, masyarakat akan terus menerima fakta yang tidak tepat selain berlaku pemesongan sejarah oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Apabila kita ada hasrat murni untuk perbetulkan pemesongan sejarah mengenai Kedah, hasrat ini patut disokong selagi ia benar dan berdasarkan hakikat yang terjadi pada waktu itu. Ia mesti diperbetulkan pada ketika ini.

"Keadaan ini mesti diperbetul oleh anak bangsa yang mempunyai kepintaran, berilmu, mempunyai maklumat, membuat kajian dan ada usaha untuk buat pembetulan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco terakhir sebelum pembubaran DUN Kedah, di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi turut mempersoalkan kewajaran pakar sejarah yang menyifatkan pajakan Pulau Pinang oleh Kedah terbatal.

“Ada pakar sejarah kata sewa (Pulau Pinang) sudah terbatal. Itu pandangan dia seorang sahaja mungkin kerana dia lahir daripada sistem yang telah dipesongkan,” katanya.

Pada Selasa, pakar sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam menjelaskan, sewaan Pulau Pinang telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.

Menurutnya, berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang prihatin mengenai sejarah Kedah dan Pulau Pinang sempena Hari Keputeraan baginda, Ahad lalu.

Sultan Sallehuddin bertitah, pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik yang membenarkan sejarah Kedah yang wujud sekian lama dipadamkan.

“Mana-mana pihak tidak wajar bimbang atas titah Sultan Kedah kerana ia adalah benar, lurus dan betul berdasarkan fakta.

"Kesultanan Kedah adalah yang tertua di dunia dan satu-satunya yang diperintah keluarga sama yang tidak pernah terputus hubungan kekeluargaan sejak zaman sebelum Islam hingga pengislaman Sultan Kedah pertama pada 1136,” jelas Muhammad Sanusi.

Menurutnya lagi, sebarang pemesongan berkaitan sejarah wajar diperbetulkan untuk generasi akan datang.

"Adakah kita sanggup hidup dalam pemesongan sejarah buat selama-lamanya? Saya tak sanggup, jika ada yang sanggup, itu kerana dia ada kepentingan dalam pemesongan itu. Kita pula ada kepentingan untuk perbetulkan apa yang dipesongkan.

"Saya menjunjung titah Sultan Kedah yang mahu sejarah sebenar direalisasikan berdasarkan pembentangan fakta tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, itu usaha yang sedang kita lakukan," katanya lagi.

Muhammad Sanusi jelaskan, apa yang dibangkitkan beliau sebelum ini membuktikan ia selari dengan hasrat Sultan Sallehuddin.

“Bukan bertujuan untuk cari gaduh dengan sesiapa. Takkanlah nak perbetulkan keadaan dikatakan gaduh. Pembetulan itu berjalan berdasarkan kajian-kajian, bukan berdasarkan kehendak,” ujarnya.