Kamake dedah punca kekalahan besar Papua New Guinea

Kamake - Foto Bernama
Kamake - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Papua New Guinea, Harrison Kamake mendedahkan punca kekalahan besar pasukannya apabila dibelasah Malaysia 0-10 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Selasa.

Beliau berkata, dalam awal saingan para pemain berjaya mengikut percaturan permainan, namun pada babak kedua mereka hilang fokus dan ia membawa padah kepada pasukan.

“Tahniah buat Malaysia, mereka adalah pasukan yang lebih baik pada malam ini (Selasa). Kesemua pemain beraksi mengikut perancangan yang ditetapkan tetapi pada separuh masa kedua pemain mula hilang fokus.

“Bermain dengan pasukan yang lebih berkualiti seperti Malaysia membuatkan kami dihukum apabila mula hilang fokus,” katanya dalam sidang media selepas berakhir perlawanan.

Anak-anak buah Kamake berjaya memberi saingan kepada skuad Harimau Malaya apabila mereka hanya sekadar bolos satu gol di minit-minit akhir menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun masuk separuh masa kedua, mereka seperti hilang apabila bolos sembilan gol.

Dalam aksi itu, pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi meledak empat jaringan, manakala enam gol lagi hasil sumbangan Faisal Halim, Danial Ting, Safawi Rasid dan hatrik Paulo Josue.

Kamake menerima kekalahan besar itu dengan hati terbuka dan akan terus memperbaiki segala kelemahan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

Beliau juga bertekad untuk terus bekerja dengan pemain-pemain muda bagi membina sebuah skuad yang ampuh.

Papua New Guinea hadir dengan keyakinan selepas mereka berjaya mengikat Singapura 2-2 dalam perlawanan persahabatan, namun terpaksa akur dengan kualiti yang ada pada pasukan lawan.