MCA harap tak dipinggir, mohon kerusi di Kedah

Perang bendera sempena kempen PRU15 lalu.
Perang bendera sempena kempen PRU15 lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - MCA Kedah memohon agar parti itu tidak dipinggirkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi untuk ditandingi.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Sungai Petani, Choo Tai Jie berpendapat, sebagai rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN), adalah wajar parti itu diberikan peluang bertanding dalam PRN akan datang.

Menurutnya, atas semangat Kerajaan Perpaduan, semua parti termasuk MCA dan MIC harus diberi peluang, walaupun kedua-duanya telah gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kami tahu BN dan Pakatan Harapan (PH) akan berhadapan satu cabaran besar pada PRN ini, oleh itu semangat kerjasama harus dipupuk dalam kalangan parti dan ini akan menaikan semangat semua ahli parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

"Selain itu, rundingan dan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) harus diselesaikan lebih awal bagi membolehkan parti memfokuskan isu rakyat dan ekonomi negara sekali gus membolehkan persiapan dilakukan untuk menghadapi PRN," katanya.

Menurutnya, kawasan yang akan ditandingi bergantung kepada pucuk pimpinan serta calon pula tidak semestinya datang daripada Pemuda MCA.

Pada PRU15 lalu, MCA bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar sementara calon MIC di Padang Serai telah bertindak menarik diri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memberi laluan kepada rakan gabungan iaitu calon dari PH yang turut bertanding.

Bagaimanapun, kedua-dua kerusi tersebut berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, MCA tewas di kerusi Kota Darul Aman, Gurun, Kulim dan Bakar Arang yang menjadi milik DAP dan PKR.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun, Tan Sri Johari Abdul dari PKR telah mengumumkan peletakan jawatan Disember lalu dan telah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.