JomPAY Bank Rakyat dilancar

Dari kiri; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff; Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh; Mohammad Hanis; Alan dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Bank Rakyat, Muzamir Omar pada Majlis Pelancaran JomPAY Bank Rakyat di platform Touch 'n Go eWallet pada Selasa.
Dari kiri; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff; Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh; Mohammad Hanis; Alan dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Bank Rakyat, Muzamir Omar pada Majlis Pelancaran JomPAY Bank Rakyat di platform Touch 'n Go eWallet pada Selasa.
A
A
A

BANK Rakyat menjalin kerjasama strategik bersama Touch ‘n Go eWallet bagi membolehkan pelanggan membuat pembayaran bil dalam aplikasi itu menerusi JomPAY.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada agenda digitalisasi syarikat yang digariskan dalam pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25).

“Kolaboratif ini menandakan lanjutan perjalanan transformasi digital dan aspirasi BR25 untuk mencapai segmen pelanggan baharu menggunakan platform e-dompet.

“Ia mengukuhkan komitmen kami untuk membawa produk dan inovatif baharu ke pasaran digital, selain meningkatkan pengalaman pembayaran tanpa tunai,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran JomPAY Bank Rakyat di platform Touch ’n Go eWallet pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohammad Hanis menjelaskan Bank Rakyat menjadi bank pertama dalam industri perkhidmatan JomPAY yang menjalin kerjasama bersama aplikasi berkenaan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan terus meneroka perkongsian dengan pemain industri e-dompet untuk meningkatkan keupayaan pembayaran digital sebagai usaha berterusan memberi nilai lebih baik kepada pelanggan.

“Perluasan perkhidmatan JomPAY Bank Rakyat di platform e-dompet bukan sahaja mewujudkan inovasi baharu dalam saluran digital perbankan melalui perkhidmatan pihak ketiga, malah turut memperluaskan akses produk dan perkhidmatan.

“Besar harapan saya agar semangat kerjasama ini dapat dipertingkatkan untuk menggerakkan negara ke arah pembayaran elektronik, di samping sistem bayaran yang cekap dan berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan rakan kongsi lain sebagai usaha membawa penyelesaian digital yang mampu memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan.

“Sebagai institusi bukan perbankan yang boleh mengakses JomPAY, pengguna kami kini mempunyai penyelesaian menyeluruh untuk membuat pembayaran bil dengan selamat dalam satu aplikasi.

“Secara tidak langsung ia menjadikan aplikasi Touch ‘n Go eWallet sebagai platform paling mudah untuk menguruskan perbelanjaan bulanan,” katanya.

Bank Rakyat merupakan peserta JomPAY, sebuah platform pembayaran bil dalam talian yang dikendalikan dan diurus oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).