Harimau Malaya ratah Papua New Guinea

Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Akhyar Rashid cuba melepasi pertahanan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi. - Foto Facebook FAM
Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Akhyar Rashid cuba melepasi pertahanan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SEJARAH tercipta di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu apabila skuad Harimau Malaya membenam Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan sebentar tadi.

Pemain sayap lincah Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua berjaya mencuri tumpuan apabila menyumbang empat gol.

Penyerang naturalisasi yang juga kapten KL City FC, Paulo Josue turut memahat namanya dalam sejarah baharu bola sepak Malaysia apabila meledak hatrik.

Selepas merakamkan kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon minggu lalu, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon membuat beberapa pertukaran dalam kesebelasan utamanya berdepan Papua New Guinea.

Namun, Pan-gon tetap memberikan kepercayaan kepada Josue mengetuai jentera serangan Harimau Malaya sambil dibantu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid di posisi sayap.

Barisan pemain Harimau Malaya meraikan jaringan Safawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi.
FOTO: FB FAM
Barisan pemain Harimau Malaya meraikan jaringan Safawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi. FOTO: FB FAM

Tempoh 45 minit pertama perlawanan menyaksikan Harimau Malaya lebih dominan menerusi beberapa percubaan berbahaya daripada trio di barisan serangan itu.

Selepas bertali arus mengasak kubu lawan yang menduduki ranking ke-159 dunia, Harimau Malaya akhirnya berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi sepakan penalti Safawi pada masa kecederaan babak pertama.

'Pesta gol' Harimau Malaya bermula pada babak kedua yang menyaksikan Pan-gon membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Arif Aiman dan Faisal Halim bagi menggantikan Safawi dan Akhyar.

Hasilnya Josue menjaringkan gol kedua Harimau Malaya pada minit ke-52 sebelum Arif Aiman kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring berselang lima minit kemudian.

Stadium makin gamat dengan sorakan penyokong apabila Faisal menyumbat gol keempat Harimau Malaya dua minit kemudian sebelum Arif Aiman menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-60.

Josue kemudiannya melengkapkan hatrik menerusi dua gol pada minit ke-64 dan ke-70 sebelum pemain gantian, Daniel Ting menambah malam gemilang Harimau Malaya dengan gol kelapan enam minit kemudian.

Bagaikan belum puas dengan dua gol, Arif Aiman memastikan Harimau Malaya merekodkan kemenangan kedua terbesar dalam sejarah bola sepak negara dengan gol pantas pada minit ke-87 dan 89.

Kemenangan ke atas Papua New Guinea itu dianggap yang terbesar pernah direkodkan di bumi sendiri selepas kali terakhir Harimau Malaya 'berpesta gol' ketika membenam Timor Leste 7-1 dalam aksi pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 Jun 2019.