Bayi dibuang meninggal dunia di hospital

Bayi lelaki yang ditemui di tepi jalan di hadapan kawasan parkir di sebuah pangsapuri di sini, meninggal dunia di Hospital Serdang pada Selasa.
Bayi lelaki yang ditemui di tepi jalan di hadapan kawasan parkir di sebuah pangsapuri di sini, meninggal dunia di Hospital Serdang pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Bayi lelaki yang ditemui ditinggalkan di tepi jalan di hadapan kawasan parkir di sebuah pangsapuri, di sini meninggal dunia di Hospital Serdang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 10.35 pagi.

"Sebelum itu, kita telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 51 tahun berhubung penemuan bayi itu pada jam 7.07 pagi.

"Bayi yang dipercayai baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat dan uri itu ditemui dalam keadaan terbaring tanpa sebarang pakaian atau nota yang ditinggalkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan awal dan disahkan berada dalam keadaan tenat.

"Setelah rawatan diberikan, pihak hospital mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi atau ibu bayi tersebut boleh menghubungi mana-mana balai berdekatan atau pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Tasnim Mohamed Nor di talian 014-6209960 bagi membantu siasatan," katanya.