Malaysia catat kemajuan positif dalam daya saing global

No Image Caption
A
A
A

KEMAMPUAN daya saing global Malaysia dalam senarai World Competitiveness Ranking (WCR) 2023 maju lima anak tangga kepada 27 berbanding kedudukan 32 yang disaksikan pada tahun lepas.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pencapaian itu merupakan pengiktirafan kepada keseluruhan usaha kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan asas ekonominya.

"Secara lebih khusus, kemajuan dalam kedudukan ini terhasil daripada dasar serta inisiatif utama MITI dalam meletakkan negara sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan, perniagaan dan perdagangan," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

WCR adalah inisiatif oleh Pusat Daya Saing Dunia (WCC) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), yang merupakan laporan tahunan terkemuka mengenai daya saing negara-negara yang telah diterbitkan sejak 1989.

WCR IMD ditentukan melalui 336 kriteria daya saing yang dikategorikan kepada empat faktor seperti prestasi ekonomi, kelicinan pentadbiran kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Malaysia yang menduduki tempat ke-27 dalam kalangan 64 ekonomi, mencatatkan peningkatan dalam keempat-empat faktor daya saing, menandakan kemajuan negara yang menggalakkan dan berdaya tahan terhadap kesan ketidaktentuan serta krisis ekonomi global yang berlarutan, selain cabaran domestik dalam pelbagai aspek.

Tangani isu di peringkat kebangsaan, sub-nasional

Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun Malaysia menonjolkan prestasi yang baik dari segi harga, infrastruktur asas serta dasar cukai, ia perlu bersungguh-sungguh menangani isu-isu seperti pembangunan bakat tenaga kerja sedia industri, pemikiran pertama digital bagi sektor dan pembaharuan kawal selia untuk fasiliti menjalankan perniagaan di peringkat nasional serta sub-nasional.

"Ini adalah bidang yang sedang diusahakan oleh MITI dan agensi-agensinya secara serius melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang akan datang, yang bakal mereformasikan asas sektor perkilangan Malaysia dan menjadi ekonomi yang lebih berdaya saing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, peningkatan kedudukan daya saing Malaysia dalam WCR 2023 mencerminkan kestabilan dan daya tahan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran.

"MPC percaya dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti di semua sektor yang akan menambah faktor daya saing secara keseluruhan.

"Fokus kami adalah kepada pemacu produktiviti utama seperti pembangunan bakat, penggunaan teknologi dan pembaharuan kawal selia untuk persekitaran perniagaan yang berkembang maju. MPC komited untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) selain memupuk ekonomi yang mampan," katanya.

MITI komited tingkatkan daya saing global Malaysia

MITI komited untuk meningkatkan daya saing global Malaysia, memandangkan ia mempunyai pengaruh yang berkesan terhadap pelaburan, perdagangan dan pembangunan perindustrian Malaysia.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang akan dilancarkan menjelang Ogos 2023, akan memberi tumpuan kepada memajukan kekompleksan ekonomi, memudahkan pendigitalan dan teknologi bagi sektor pembuatan Malaysia, mendorong neutral karbon, serta melindungi keselamatan dan keterangkuman ekonomi.

MITI telah mengenal pasti lima sektor terutamanya aeroangkasa, kimia dan petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik serta farmaseutikal yang akan memacu transformasi industri, termasuk meningkatkan pembuatan dan eksport produk yang lebih kompleks untuk terus membangunkan Malaysia menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan.

Tumpuan kepada industri-industri ini juga akan mendorong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia memasuki segmen pasaran berhasil tinggi serta bernilai tinggi.

Daripada segi meningkatkan fasiliti menjalankan perniagaan, MPC telah diberi mandat untuk menguruskan beban pengawalseliaan yang tidak perlu ke atas perniagaan dengan mengurangkan isu dan cabaran yang berkaitan dengan birokrasi.

MITI percaya usaha bagi meningkatkan daya saing global Malaysia harus bergantung kepada pendekatan keseluruhan negara dalam memuktamadkan dan melaksanakan NIMP2030, berdasarkan strategi bersepadu awam-swasta yang memperkasakan semua pihak berkepentingan utama seperti pelabur, perniagaan, PKS dan rakyat, dengan mengambil kira prinsip kemampanan serta keterangkuman. - Bernama