Tuduhan PN tunggang agama bersifat dangkal - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal dalam suatu video di Facebooknya
Wan Ahmad Fayhsal dalam suatu video di Facebooknya
A
A
A

SHAH ALAM - Tuduhan parti lawan terhadap Perikatan Nasional (PN) menunggang agama adalah satu kebatilan dalam berfikir tentang Islam dan politik, kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan itu tidak lain tidak bukan sebagai sifat dangkal menutup kelemahan berfikir yang betul berkenaan politik dalam Islam.

"Lawan politik menuduh PN menunggang agama. Konon bila lawan DAP, lawan UMNO-Kleptokrasi guna dalil al-Quran dan hadis salah, menipu pengundi.

"Ini satu kebatilan dalam berfikir tentang Islam dan politik. Kita diajar untuk menilai lawan dengan adil berlandaskan ilmu dan bukannya hawa nafsu," katanya di Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu berkata, pendirian melawan DAP atau Lim Kit Siang bukan kerana bangsanya tetapi sifat sifat cauvinisme, anasir dan dakyah yang mereka bawa.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa perkara diperjuangkan DAP jelas bertentangan dengan Islam dan identiti negara serta cubaan merungkai asas kenegaraan melalui Deklarasi Setapak, 'Malaysian Malaysia'.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya melawan UMNO-Barisan Nasional (BN) kerana pemimpin utama mereka menipu orang Melayu.

"Ini kerana mereka (UMNO) sanggup bersekongkol dengan pihak yang boleh membuka pintu mafsadah yang lebih besar kepada keutuhan dan kedudukan agama serta bangsa kita," ulasnya.

Pada 13 Jun lepas, sebuah portal tempatan melaporkan Wan Ahmad Fayhsal membuat pengakuan bahawa beliau sememangnya menggunakan ayat al-Quran dan hadis untuk meraih sokongan pengundi di Kelantan.

Dalam temubual ‘Keluar Sekejap’ bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau pada ketika itu cuma memikirkan satu formula iaitu “perlu terlihat lebih Pas daripada ahli Pas sendiri”.

Selain itu, menerusi hantaran video berdurasi 1 minit 49 saat di Facebooknya, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan ketika berhujah atau berpidato membuat pendirian politik khususnya isu-isu Melayu dan Islam, dalil al-Quran hadis, ijtimak, qiyas dan sumber Islam tidak boleh dikesampingkan sama sekali.

Jelasnya, ini kerana setiap pendirian hujah, keputusan ada hukum halal dan haramnya.

"Jadi kenapa kita kena tolak Pakatan Harapan, tolak BN dalam pilihan raya, saya tak boleh cakap ikut emosi atau hawa nafsu.

"Saya perlu rujuk dalil yang telah dikeluarkan oleh ulama. Hujah-hujah libatkan ancaman ideologi songsang barat, komunisme dan liberalisme dan semua itu mesti ada sandaran.

"Mesti ada dalil al-Quran dan hadis yang saya perlu jelaskan dalam kempen, itu maksud saya. Semua pemimpin Pas dan Bersatu di mana ijtihad politik kami mestilah berdasarkan dalil-dalil yang kuat," ulasnya.