PKBM dapat 'tabik hormat' anjur ACC 2023

Penganjuran Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berakhir di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, pada Isnin menerima maklum balas positif daripada kesemua negara bertanding. - Foto Bernama
Penganjuran Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berakhir di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, pada Isnin menerima maklum balas positif daripada kesemua negara bertanding. - Foto Bernama
A
A
A

PENGANJURAN Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berakhir di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, pada Isnin menerima maklum balas positif daripada kesemua negara bertanding.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, penganjuran ACC itu turut disertakan 'tabik hormat' kepada Malaysia selaku tuan rumah oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

"Syukur Alhamdulillah apabila kita sekali lagi berjaya menganjurkan ACC selepas 2018. Selaku Presiden, saya berpuas hati dengan perjalanan penganjuran ACC kali ini bermula hari pertama hingga hari terakhir.

"Saya juga berjumpa dengan presiden dan juga wakil persekutuan berbasikal daripada beberapa negara lain yang mana mereka gembira dengan apa yang kita lakukan sepanjang enam hari ACC berlangsung,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Penganjuran ACC 2023 bermula 14 Jun lepas, melibatkan penyertaan hampir 500 pelumba termasuk kira-kira 60 pelumba para daripada keseluruhan 17 negara termasuk Malaysia.

Selain Jepun, Korea Selatan dan China yang dilabel gergasi Asia, antara negara lain yang mengambil bahagian termasuk Taiwan, India, Hong Kong, Macau, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Indonesia, Singapura dan Laos. - Bernama