Pemandu lori tangki didakwa sebabkan kematian dua beradik

Muhammad Noor Azwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Trafik Khas Kuantan pada Selasa atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian kepada dua beradik pada 13 Jun lalu.
Muhammad Noor Azwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Trafik Khas Kuantan pada Selasa atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian kepada dua beradik pada 13 Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori tangki didakwa di Mahkamah Trafik Khas Kuantan pada Selasa atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian kepada dua beradik pada 13 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.

Dia didakwa memandu kenderaan berat itu tanpa kecermatan kepada pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian kepada Siti Nur Alia Saffiyah, 18, dan Siti Mazurah Zulkifli, 30.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Muhammad Noor Azwan di Jalan Kuantan-Segamat, dekat persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir, di sini pada jam 11 malam, 13 Jun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 - Pindaan 1999) dan sabitan bagi kesalahan itu boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain itu, lesen tertuduh juga boleh dibatalkan mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.

Dalam prosiding itu, Fadhlin Hani memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 berserta seorang penjamin bercagar.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana pendapatan bulanannya hanya RM3,000.

Muhammad Noor Azwan turut memberitahu, dia juga menanggung isteri dan tiga anak serta ibunya yang sudah tua.

Majistret kemudiannya membenarkan jumlah ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar serta menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 14 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, dua beradik maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, pemandu kereta jenis Proton Wira, Siti Nur Alia Saffiyah dan kakaknya, Siti Mazurah beralamat dari Felda Lepar Hilir 1 di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori tangki yang beralamat di Perkampungan Sungai Isap di sini, di tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca kemalangan dipercayai lori membawa muatan bahan api petroleum dari arah Muadzam Shah ke sebuah stesen minyak, di sini hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki dua beradik yang bekerja sebagai juru jual dan pramusaji itu.