Razarudin, Ayob Khan bakal terajui PDRM

Tan Sri Razarudin Husain, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Tan Sri Razarudin Husain, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tan Sri Razarudin Husain dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay antara nama yang dikatakan bakal mengisi dua jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas ini.

Razarudin ketika ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara antara nama disebut-sebut akan dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan menamatkan kontraknya lebih awal iaitu pada Julai ini.

Sebelum ini, kontrak Acryl Sani disambung untuk tempoh dua tahun yang berkuat kuasa pada 4 Oktober 2021 hingga 3 Oktober ini.

Bagaimanapun Acryl Sani dilaporkan berkata, beliau akan mengundurkan diri daripada pasukan PDRM pada minggu pertama Julai ini.

Razarudin pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2021 sebelum dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun sehingga 15 Mac 2025.

Anak kelahiran Dengkil, Selangor itu memulakan tugas pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di daerah Muar, Johor.

Beliau telah memegang pelbagai jawatan dalam pasukan antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum dilantik ke jawatan nombor dua dalam PDRM.

Sementara itu, Ayob Khan dikatakan antara calon dipertimbangkan bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Ayob Khan ketika ini merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan dilantik jawatan tersebut sejak 16 April lalu menggantikan Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang bersara.

Sebelum ini Ayob Khan merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak dilantik ke jawatan itu pada Januari 2022.