Ini sebab SK Kanchong Darat tersenarai 10 sekolah terbaik dunia

Fadhlina (tiga, kiri) bersama sebahagian guru ketika hadir menyampaikan plak penghargaan selepas SK Kanchong Darat dipilih sebagai 'Top 10 World's Best School Prizes' pada Karnival Perpaduan Madani 2023. - Foto Bernama
Fadhlina (tiga, kiri) bersama sebahagian guru ketika hadir menyampaikan plak penghargaan selepas SK Kanchong Darat dipilih sebagai 'Top 10 World's Best School Prizes' pada Karnival Perpaduan Madani 2023. - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Niat ikhlas para guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat di sini, yang mengadakan program untuk menarik minat murid datang ke sekolah, berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila tersenarai antara 10 sekolah terbaik dunia dalam kategori 'Supporting Healthy Lives Category'.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat, Rozanah Abd Razak berkata, pihaknya bersyukur program yang diusahakan hampir empat tahun lalu yang mahu memperbaiki tahap kehadiran para murid di sekolah tersebut berjaya membuahkan hasil sehingga diiktiraf setinggi itu.

Beliau berkata, program 'Minda Sihat, Warga Sihat' (Great Mind, Healty Citizen) itu yang mewajibkan setiap pelajarnya untuk turut serta, meliputi lima aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.

”Melalui program itu juga, berjaya membantu menaikkan semangat murid-murid terutamanya selepas pandemik Covid-19, kerana para guru lihat mereka kurang bermotivasi untuk datang ke sekolah, selain mereka dilihat semakin malas.

"Oleh itu, kami wujudkan permainan 'lompat tali' (salah satu aspek) yang dilihat sangat mendapat sambutan dalam kalangan murid. Kami juga memberi kebenaran mereka untuk bermain lompat tali pada waktu rehat dan selepas sekolah, alhamdulilah, kehadiran murid-murid hari ini sangat memberangsangkan," katanya ketika ditemui selepas Karnival Perpaduan Madani 2023 Sempena 'Top 10 World's Best School Prizes' di sekolah tersebut pada Isnin.

Katanya, melalui program itu juga ada dalam kalangan murid yang berjaya keluar daripada kelompok obesiti seterusnya meningkatkan tahap kecergasan mereka..

Selain SK Kanchong Darat, SK Seri Permai di Bayan Baru, Pulau Pinang, turut tersenarai dalam kedudukan sepuluh teratas anugerah sekolah terbaik dunia bagi kategori berbeza.

Kedua-dua sekolah tersebut berpeluang memenangi sebahagian daripada hadiah keseluruhan AS$250,000 (RM1.16 juta), untuk dikongsi sama rata bersama lima pemenang, dengan masing-masing menerima AS$50,000 (RM231,300).

Sementara itu, pelajar Tahun Lima SK Kanchong Darat, Nur Khalisah Mohamad Rafi berkata program tersebut membuatkan beliau sangat teruja untuk datang ke sekolah pada setiap hari.

"Seronok nak pergi sekolah, bila masa lapang cikgu benarkan kami main (lompat tali) dengan kawan-kawan. Dulu saya seorang yang sangat pemalu, lepas sertai program sekolah ini, saya semakin ok," katanya.

Bagi bekas pelajar sekolah berkenaan, Muhammad Ammar Zaquan Rizal Efendi, 13, berkata, walaupun tidak lagi bersekolah di situ, beliau masih bergerak aktif bersama guru-guru SK Kanchong Darat mempromosi sukan lompat tali di kawasan daerah Banting.

"Dulu, saya langsung tidak aktif dan tiada kawan di sekolah, walaupun sekolah ini hebat dalam sukan bola baling, boling dan olahraga, tetapi saya tidak terlibat.

"Namun apabila sekolah mewajibkan program ini kepada semua pelajar, saya mulai sedar akan minat saya. Sejak dari situ, saya semakin menonjol di sekolah (mewakili sekolah dalam sukan lompat tali) dan pelajar-pelajar juga mula mengenali saya," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi pujian kepada SK Kanchong Darat kerana berjaya sampai ke peringkat tersebut.

"Menang atau kalah itu bukan soalnya, walaupun sekolah ini kecil, mereka buktikan mereka boleh pergi ke peringkat dunia. Tiada murid terpinggir nak pergi ke peringkat dunia, kita akan terus bagi sokongan," katanya.

Beliau berharap program yang menjurus kepada 'gaya hidup sihat' ini dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di dalam negara ini.

"Saya tekankan tadi selain daripada pengiktirafan di peringkat dunia ini, sebenarnya kita dapat lihat ada banyak lagi potensi-potensi yang hadir. Impak dari program ini termasuk kehadiran kanak-kanak ke sekolah, perkembangan sahsiah mereka, akademik mereka dan pastinya juga aktiviti menjurus kepada gaya hidup sihat," katanya. - Bernama