Siasatan terhadap Tun M profesional, tiada unsur politik - Anwar

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kaedah siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dilaksanakan secara profesional tanpa ada unsur politik.

Perdana Menteri berkata, arahan beliau sangat jelas yang mana badan penyiasat perlu melaksanakan tugas berdasarkan fakta dan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, jangan pula dipersoalkan apabila disiasat oleh badan penyiasat sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SPRM, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita kena lihat kepada fakta, jika ketika memegang kuasa, kita menggunakan kuasa itu untuk memberi kontrak kepada anak pinak, ahli keluarga dan kroni serta mengkayakan diri, jangan dipersoalkan siasatan dan katakan ini tohmahan politik.

"Sedangkan kekayaan itu tidak dapat diterangkan dengan jelas, berapa banyak malah pengedaran wang berlaku secara berleluasa," katanya di Dewan Negara pada Isnin.

Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair yang ingin mengetahui sejauh manakah SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh.

Sabtu lalu, SPRM memaklumkan akan meneliti unsur kesalahan rasuah berhubung dakwaan isu pemberian kontrak gentian optik RM214.2 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambah Anwar, Ahli Dewan Negara sepatutnya bertanggungjawab dan mengambil sikap yang sangat positif dalam hal tersebut.

"Kita perlu selamatkan negara dari kancah mala petaka rasuah yang berleluasa. Sekarang ini setiap tindakan yang diambil dijadikan bahan politik.

"Kalau ada tohmahan dan bukti terdapat mana-mana badan, bergerak atas arahan politik boleh kemukakan," ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan bertindak tegas bagi mengekang rasuah di negara ini.

"Di sini Yang Dipertua saya jamin kita akan bertindak tegas supaya penyakit barah itu dapat dihapuskan," jelasnya.