Aplikasi Pahang Pride Kasih bantu kenal pasti klinik panel

Wan Rosdy (tengah) ketika menyerahkan kad tersebut kepada penerima yang layak di Dewan Tun Razak, Temerloh pada Isnin. (Gambar kecil: Siti Meriam, Mohd Nazri)
Wan Rosdy (tengah) ketika menyerahkan kad tersebut kepada penerima yang layak di Dewan Tun Razak, Temerloh pada Isnin. (Gambar kecil: Siti Meriam, Mohd Nazri)
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan negeri memperkenalkan platform baharu kepada penerima kad kesihatan membabitkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerusi aplikasi mudah alih Pahang Pride Kasih sebagai nilai tambah kepada 30,600 penerimanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui aplikasi tersebut, penerima boleh menyemak senarai klinik panel, rekod rawatan, jenis ubatan serta baki semasa penggunaan kad yang telah digunakan.

Menurutnya, aplikasi ini adalah nilai tambah yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada sistem portal pahangpridecare.com sedia ada.

"Selaras dengan perkembangan teknologi kini, ramai yang boleh melayari aplikasi ini selain kita juga akan pergi satu demi satu untuk membantu mereka menggunakan aplikasi ini.

"Setakat ini ramai guna telefon pintar dan saya percaya ini bukan satu perkara yang sukar. Bagaimanapun bagi mereka yang tidak boleh, kita akan aturkan kemudian," katanya.

Wan Rosdy (tengah) ketika menyempurnakan pelancaran aplikasi mudah alih Pahang Pride Kasih di Dewan Tun Razak di Temerloh pada Isnin.
Wan Rosdy (tengah) ketika menyempurnakan pelancaran aplikasi mudah alih Pahang Pride Kasih di Dewan Tun Razak di Temerloh pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan Kad Kesihatan Pahang Pride melibatkan 400 penerima di daerah itu dan pelancaran aplikasi mudah alih kad tersebut di Dewan Tun Razak pada Isnin.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan.

Tambah Wan Rosdy lagi, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta tahun ini berbanding RM10 juta tahun lepas melibatkan 70 buah klinik swasta di Pahang.

"Disebabkan kewangan kita kukuh, maka kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk meneruskan lagi program Pahang Pride Kasih pada tahun ini yang sudah pastinya akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Pahang.

"Ini kerana, setelah saya meneliti semula kepentingan inisiatif ini, serta sambutan yang cukup baik daripada rakyat, saya rasa pemberian kad kesihatan ini perlu kita perluaskan lagi kepada golongan sasaran yang lain.

"Justeru, selain warga emas, kategori baharu yang turut sama mendapat manfaat inisiatif ini adalah orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja. Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang juga telah mengenal pasti penerima bantuan ini mengikut keutamaan kelayakan," ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang OKU, Mohd Nazri Mohd Aris, 68, dari Kampung Batu Sawar memuji pelancaran aplikasi itu yang secara tidak langsung boleh membantu warga emas OKU sepertinya untuk mengetahui senarai klinik yang menerima kad tersebut.

"Tahun lepas, sedikit sukar sebab saya tidak tahu klinik mana yang boleh pergi, jadi aplikasi sebegini banyak membantu," katanya yang kudung kaki akibat komplikasi kencing manis.

Seorang lagi warga emas, Siti Meriam Mohd Yusof, 70, amat menghargai dan bersyukur dengan pemberian kad itu sekali gus membantu mereka mendapatkan rawatan kesihatan selepas ini.

Program tersebut mula dilancarkan buat pertama kalinya pada 18 Januari tahun lalu di daerah Rompin membabitkan golongan warga emas yang terpilih diberikan kad kesihatan yang mempunyai nilai RM500 bagi mendapatkan rawatan kesihatan am di klinik-klinik swasta yang telah dilantik sebagai panel.