Suhakam perlu pulangkan semula dana asing

Lukman (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar khas mengenai Suhakam di sini pada Isnin.
Lukman (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar khas mengenai Suhakam di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) mendesak supaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memulangkan semula dana asing yang diterima daripada Kesatuan Eropah (EU).

Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan suruhanjaya berkenaan bebas dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Seksyen 19 Akta Suhakam juga melarang suruhanjaya itu daripada menerima dana asing kecuali bagi tujuan pendidikan dan kesedaran.

"Secara umumnya dana-dana asing yang diberikan mempunyai kepentingan geopolitik mereka dengan bertopengkan hak asasi manusia.

"Sebab itulah kami risau dan berpandangan bahawa eloklah dana-dana asing ini tidak digunakan (diterima) walaupun bagi tujuan pendidikan atau kesedaran.

"Ini kerana, biasanya dana sedemikian mempunyai syarat berkait (dengan geopolitik tertentu) yang kita terpaksa ikut dengan nilai budaya mereka dan jelas sekali tidak sama diamalkan di Malaysia," katanya ketika sidang akhbar khas di sini pada Isnin.

Antara gabungan (CSO) turut serta adalah Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela); Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan sebagainya.

Turut hadir, Pengerusi Bersama MACSA, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Tahun lalu, media melaporkan delegasi EU ke Malaysia dan Suhakam menandatangani kontrak untuk melaksanakan projek hak asasi manusia selama tiga tahun dengan anggaran geran berjumlah Euro 500,000 (RM2.31 juta).

Kontrak tersebut dimeterai Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Pengerusi Suhakam, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Mengulas lanjut, Lukman turut berpandangan adalah wajar butiran penerimaan dana asing oleh Suhakam sebelum ini diumumkan secara terbuka.

Langkah itu katanya, bagi memastikan adanya ketelusan serta tidak berlaku 'kawalan' oleh pihak tertentu.

Sementara itu, beliau turut memuji barisan kepimpinan Suhakam yang baru dilantik kerana dilihat lebih inklusif berbanding sebelum ini.

Ujarnya, ia dibuktikan apabila pihaknya berjaya mengadakan sesi libat urus dengan suruhanjaya berkenaan bersama kepimpinan baharu itu.

"(Kalau dilihat) ini jauh berbeza dengan dahulu di mana CSO Islam tidak dilayan dan disisihkan," katanya.

Justeru, beliau berharap Suhakam kekal menjadi inklusif dengan melibatkan semua CSO Islam dalam advokasi hak asasi manusia pada masa akan datang.