Cadangan had lesen baharu kontraktor dibawa ke MOF

Abdul Rahman - Foto Bernama
Abdul Rahman - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Kerja Raya akan mengusulkan cadangan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) kepada Kementerian Kewangan supaya mengehadkan kelulusan lesen baharu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, persatuan itu juga memohon kementerian terbabit melaksanakan pemutihan bagi mengenal pasti kontraktor bermasalah.

"Saya berpendapat pandangan mereka baik dan kita cuba usulkan supaya dapat dipertimbangkan oleh kementerian itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-46 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Abdul Rahman turut memberi contoh di Parlimen Lipis, terdapat kira-kira 450 kontraktor G1 dan yang mampu dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah hanya lebih 200.

Abdul Rahman (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Rosdi pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-46 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan pada Ahad.
Abdul Rahman (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Rosdi pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-46 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan pada Ahad.

"Atas dasar ini kita fikirkan supaya lesen itu dapat dipertimbangkan semula.

"Beberapa negeri yang saya lawati seperti Perak, Terengganu dan Kelantan meminta supaya dapat mengkaji semula kelulusan lesen yang begitu ketara peningkatannya," katanya.

Jelas beliau, kerajaan menyediakan kira-kira RM99 bilion untuk sektor pembinaan tetapi persaingan begitu ketara sekali.

"Kita bimbang ada kontraktor yang sudah begitu lama tidak mendapat projek khususnya G7 sedangkan kakitangan mereka ramai dan mempunyai banyak peralatan," katanya.