Tajuddin nafi sertai PN

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

IPOH - Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikan beliau salah seorang daripada senarai 10 'panglima perang' yang akan menyertai parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Tajuddin, beliau tidak mengetahui perkara itu dan menegaskan untuk terus kekal bersama UMNO.

"Tidak ada kena-mengena dengan saya dan saya tidak tahu-menahu.

"Saya tetap bersama UMNO walaupun tinggal seorang. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jangan bimbang, saya bersama UMNO dan akan sokong UMNO.

"Saya harap Datuk Seri Ahmad Zahid pimpinlah elok-elok. Kalau beliau berlaku adil demi parti dan orang Melayu, saya sokong," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan PN akan mengumumkan senarai nama 10 'panglima perang' UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam masa terdekat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, nama-nama itu akan didedahkan pada program bersesuaian dan ketika ini barisan kepimpinan PN sedang memuktamadkan urusan berkenaan.

Selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disebut-sebut antara individu yang akan menyertai PN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beberapa bekas pimpinan parti itu yang akan menyertai PN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).