Pahang terima 2,415 permohonan Skim I-Push fasa kedua

Zulkifli Yaacob
Zulkifli Yaacob
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menerima 2,415 permohonan Dana Skim Pembiayaan Kewangan Mikro Negeri Pahang (I-Push) fasa kedua yang dibuka pada November hingga 14 Disember tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Indera Zulkifli Yaacob berkata, permohonan yang memberangsangkan itu telah melalui pelbagai proses tapisan sebelum diluluskan.

Menurutnya, daripada keseluruhan permohonan diterima, 1,553 pemohon telah berjaya melepasi kesemua tapisan termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)

"Surat kelulusan kepada pemohon yang layak telah dikeluarkan pada 2 Mei lalu.

"Seramai 515 pemohon yang berjaya telah selesai menandatangani perjanjian dengan pihak Bank Muamalat selaku agensi yang akan menyalurkan skim pembiayaan ini," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Zulkifli berkata, kerajaan negeri memberi jaminan penyaluran dana Skim I-Push fasa kedua akan dikreditkan kepada penerima yang telah selesai menandatangani perjanjian pembiayaan mulai 19 Jun ini.

"Pemohon Skim I-Push boleh merujuk portal rasmi https://smu.pahang.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,"jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri akan terus komited membantu usahawan di negeri ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat.