Hentikan politiking, Fadillah ajak PN sertai Kerajaan Perpaduan

Fadillah menggesa agar PN menghentikan permainan politik, sebaliknya bersama-sama membina kestabilan politik demi pembangunan negara. - Foto Awani
Fadillah menggesa agar PN menghentikan permainan politik, sebaliknya bersama-sama membina kestabilan politik demi pembangunan negara. - Foto Awani
A
A
A

KUCHING - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mempelawa Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan untuk sama-sama membangunkan negara dan bukan hanya mengutuk usaha kerajaan.

Jelas Ahli Parlimen Petra Jaya itu, terlalu banyak ‘politiking’ daripada pihak pembangkang hanya akan membantut usaha pemulihan ekonomi negara.

“Malahan kalau dapat saya nak cadangkan kepada Perikatan Nasional sertailah Kerajaan Perpaduan sekali supaya tak ada lagi permainan politik, kita sama-sama bangunkan negara sebab negara memerlukan kestabilan politik,” katanya ketika ditemui media di Majlis Perasmian Pesta Samariang 2023 di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, Petra Jaya dekat sini pada Sabtu.

Fadillah berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Sari Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang mengkritik tindakan seorang menteri yang menunggang seekor lembu dipercayai dalam gimik perasmian sebuah program.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mengaitkan tindakan menteri berkenaan dengan prestasi yang sangat mendukacitakan.

Tegas Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), hanya melalui kestabilan politik negara semua pihak akan dapat memberi fokus kepada pemulihan ekonomi dan seterusnya pembangunan negara.

“Itu pandangan dia (Sanusi) saya tak nak komen, saya nak komen apa yang ditetapkan oleh YAB Premier Sarawak untuk pastikan kita bentukkan kerajaan yang stabil, dan dengan kestabilan kita berikan tumpuan memulihkan ekonomi negara kita, dengan pemulihan ekonomi negara kita barulah kita akan dapat membantu rakyat dan terus membangunkan negara kita,” tambahnya lagi. - Awani