Perbanyak tempat berteduh motosikal di lebuh raya - Lam Thye

Lam Thye. Laporan Sinar Harian.
Lam Thye. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu memperbanyakkan tempat berteduh untuk kegunaan penunggang motosikal semasa hujan atau cuaca buruk.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kesukaran untuk penunggang motosikal berlindung ketika cuaca hujan boleh menyebabkan kemalangan.

“Saya ingin mencadangkan supaya pihak LLM dan Lebuhraya PLUS memperbanyakkan kemudahan itu.

“Kesukaran untuk berlindung boleh mendedahkan mereka kepada kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Baru-baru ini, tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera, seorang daripadanya parah, dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk yang terbabas ketika mereka berteduh dari hujan di bawah jejambat di Kilometer (KM) 19.6 Lebuhraya NKVE dekat sini.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 5.59 pagi ketika sekumpulan penunggang motosikal berhenti untuk berteduh di bawah jejambat arah selatan lebuh raya berkenaan.

Lam Thye juga mencadangkan kerajaan menyediakan penghadang jalan yang mengasingkan aliran trafik utama dan tempat perlindungan motosikal.

“Pencahayaan dan ruang tempat duduk yang mencukupi untuk penunggang motosikal berehat amat diperlukan serta papan tanda keluar masuk kenderaan diwujudkan.

“Sekiranya ia dibuat dengan betul, ia mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa penunggang motosikal pada masa akan datang,” katanya.