'Kami hilang pendapatan jika dipaksa kosongkan tanah'

Noh (tengah) bersama-sama peneroka bergambar selepas Program Dialog Bantahan Pengambilan Tanah Peneroka di Kampung Seri Makmur di sini pada Sabtu.
Noh (tengah) bersama-sama peneroka bergambar selepas Program Dialog Bantahan Pengambilan Tanah Peneroka di Kampung Seri Makmur di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 500 peneroka tanah pertanian di Kampung Seri Makmur di sini mendakwa berdepan kehilangan sumber pendapatan sekiranya kerajaan negeri Selangor bertegas mahu mereka mengosongkan tanah tersebut.

Rata-rata peneroka mengusahakan tanaman kelapa sawit, sayur-sayuran, penternakan ikan dan ayam mendakwa mereka sudah membangunkan kawasan seluas 1,600 hektar itu sejak lebih 40 tahun lalu.

Seorang peneroka, Amir Ali, 43, berkata, pendapatan keluarganya bergantung kepada hasil tanaman sayur di kawasan seluas dua hektar di kampung berkenaan.

"Saya telah usahakan tanaman sayur-sayuran antaranya timun, kacang panjang, terung dan bendi di sini lebih 18 tahun lalu.

"Jika kerajaan Selangor mengarahkan kami mengosongkan tanah yang kami usahakan, bagaimana nasib kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pada Program Dialog Bantahan Pengambilan Tanah Peneroka di Kampung Seri Makmur di sini pada Sabtu.

Menurut Amir, hasil tanaman yang diusahakannya itu mampu menjana purata pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

"Wang ini digunakan untuk menyara isteri dan tujuh anak lain dengan lima daripada mereka masih bersekolah," ujarnya.

Seorang lagi peneroka Mohd Zubir Itam Ahmad, 65, berkata, selepas tidak lagi bekerja sebagai pemandu lori, dia bergantung kepada hasil kelapa sawit sebagai punca pendapatan.

Katanya, tanaman kelapa sawit seluas 0.25 hektar diusahakannya sejak 17 tahun lalu tidak pernah berdepan sebarang tindakan pengusiran daripada mana-mana pihak.

"Kami berharap kerajaan negeri menghentikan arahan mengosongkan tanah kerana kami telah membanting tulang meneroka kawasan ini sejak sekian lama," jelasnya.

Seorang lagi peneroka, Mohd Fadzil Ibrahim, 70, berkata, kawasan berkenaan mula diterokai penduduk setempat sejak tahun 80-an dan menjadi sumber pendapatan utama golongan miskin selama tiga generasi.

Bagaimanapun, katanya, segala-galanya berubah sebaik kerajaan Selangor diambil alih Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) pada tahun 2008.

"Kami memohon kerajaan negeri tidak berterusan mengganggu peneroka sekali gus menutup periuk nasi peneroka miskin di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kawasan tanah pertanian itu sepatutnya dibangunkan bagi membantu penduduk yang sudah lama meneroka kawasan tersebut.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri diminta menghentikan sebarang aktiviti mengosongkan tanah tersebut.

Noh berkata, Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan perkara itu akan ditangani sekiranya mereka berjaya menawan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kita akan terus membela nasib peneroka di sini dan memastikan mereka ini terjamin mengusahakan kawasan ini tanpa sebarang gangguan," jelasnya.