'Bas syaitan' tidak lagi menuju Hel

Bas bernombor 666 menuju bandar peranginan Hel popular dalam kalangan pelancong. - Foto Agensi
Bas bernombor 666 menuju bandar peranginan Hel popular dalam kalangan pelancong. - Foto Agensi
A
A
A

WARSAW - Bas bernombor 666 yang digelar 'bas syaitan' dan popular dalam kalangan pelancong kini menggantung operasinya ke bandar Hel di Poland.

Pengendali bas tempatan, PKS Gdynia dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil bagi meredakan tekanan daripada kumpulan konservatif Kristian Katolik yang sekian lama mendesak perubahan nombor pada bas tersebut.

Kumpulan itu menuduh syarikat bas berkenaan menyebarkan satanisme.

Angka atau simbol 666 sering kali dikaitkan dengan pemujaan syaitan dan bandar Hel pula berbunyi seakan-akan Hell atau neraka dalam bahasa Inggeris.

PKS Gdynia berkata, ia mengubah nombor bas popular itu kepada 669 mulai 24 Jun ini.

Sejak 2006, laluan transit 666 ke pantai berpasir di bandar peranginan Hel telah menjadi jenaka yang popular terutamanya dalam kalangan pelancong.

Walaupun ‘bas syaitan’ terbukti bagus untuk perniagaan dan tarikan pelancong, ia dianggap kurang beradab oleh segelintir individu dan kumpulan agama konservatif di Poland. - Agensi