[VIDEO] Dakwaan 'Kalih Bagi Sama' songsang, Mahdzir bidas Sanusi

Mahdzir (kiri) dan Sanusi.
Mahdzir (kiri) dan Sanusi.
A
A
A

ALOR SETAR -Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, kempen 'Kalih Bagi Sama' yang digunakan BN bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri itu tidak menyalahi sebarang amalan demokrasi.

Menurut beliau, kempen berkenaan adalah tawaran buat rakyat atau pengundi di negeri Jelapang Padi untuk memilih pihak yang sehaluan dan sama dengan pentadbiran di peringkat Persekutuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jelas bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu, penggunaan kempen 'Kalih Bagi Sama' juga bukanlah satu perkara yang songsang seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selain merupakan hak masing-masing dalam membuat sebarang tawaran kepada pengundi.

"(Sebenarnya) kalau mencarut, maki orang, fitnah orang, kemudian ikut suka (sahaja) perkataan (apa-apa pun) hendak keluar, mengata dekat orang, saya ingat yang itu lebih dahsyat lagi daripada (apa yang didakwa sebagai) songsang ini,

"Jadi saya ingat dalam (amalan) demokrasi kita offer (satu) tawaran kepada rakyat Kedah kalau hendak sama kerajaan negeri (Kedah) dengan kerajaan persekutuan, kita 'Kalih Bagi Sama', tidak apa yang songsang tetapi (kalau) dia (Sanusi) kata songsang, saya tidak tahu di mana yang songsang (itu)," kata Mahdzir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Penyediaan Manifiesto Barisan Nasional Kedah sempena Pilihan Raya Negeri di Pejabat UMNO Kedah, Bangunan Tunku, Alor Setar malam tadi (Jumaat).

Sebelum ini, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menyifatkan slogan 'Kalih Bagi Sama' yang menjadi pertaruhan PH dan BN Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai kempen politik songsang.

Bahkan, dakwa beliau, kempen berkenaan tidak menggambarkan demokrasi selain tidak selari dengan Perlembagaan negara.

Pada awal Mei lalu, PH dan BN Kedah melancarkan slogan 'Kalih Bagi Sama' sebagai kempen PRN bertujuan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan sealiran. - Awani