Rambung penuh dengan plot twist

Shahida menunjukkan novel Rambung yang mendapat sambutan menggalakkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 baru-baru ini.
Shahida menunjukkan novel Rambung yang mendapat sambutan menggalakkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Misteri sebuah rumah terletak tidak jauh dari pokok rambung menjadi perantara antara kisah dulu dan kini mengundang pelbagai kejadian aneh serta mistik kepada keluarga yang baru berpindah dari bandar ke kampung.

Demikian jalan cerita seram yang dipaparkan menerusi sebuah novel bertajuk Rambung.

Editor Kanan Unit Novel Grup Karangkraf, Shahida Md Kasim berkata, novel tersebut tampil dengan genre misteri seram yang menyelitkan isu kemasyarakatan, kekeluargaan dan persahabatan.

Menurut Shahida, Rambung menjanjikan kelainan seperti mengetengahkan suasana kampung pada zaman 70-an selain terdapat banyak plot twist yang tidak dapat dijangka oleh pembaca.

“Apabila kita baca kita tidak dapat menjangkakan jalan cerita novel tersebut sekali gus membuatkan pembaca tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku dan terbongkar pada akhir penceritaan.

“Novel ini sangat menarik malah sesuai jika diterbitkan menjadi drama bersiri. Saya rasa ia boleh bersaing dengan drama-drama seram yang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, melalui novel itu juga pembaca memperoleh banyak pengajaran antaranya jangan terlampau mempercayai kawan baik.

“Selain itu, cerita ini turut mendedahkan bahawa masih wujud penggunaan sihir atau ilmu hitam dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini walaupun dunia semakin moden.

“Sedangkan perbuatan itu dikutuk dan sangat bertentangan dengan ajaran Islam kerana menyekutukan ALLAH sama ada secara lisan atau pegangan,” jelasnya.

Shahida turut mendedahkan, Rambung merupakan novel seram kedua terlaris pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 baru-baru ini.