Jangan kejar populariti, utamakan pelajaran

Nurfalahi
Nurfalahi
A
A
A

SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial menasihati pelajar mengutamakan pendidikan dan ilmu pengetahuan berbanding mengejar populariti di media sosial sehingga hilang keinginan untuk melanjutkan pelajaran.

Berkongsi pengalaman sebagai pempengaruh bidang kreatif di laman sosial, Nurfalahi Zainal Nazeri, 27, berkata, ilmu yang diperolehi semasa menuntut di universiti dapat diaplikasikan semasa bekerja dan membantu mengembangkan karier sedia ada.

“Saya tamat belajar dalam bidang seni bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tetapi ilmu yang saya belajar dapat dimanfaatkan dalam pekerjaan saya terutama aspek kreativiti seperti fotografi, seni reka, grafik dan videografi.

“Pendidikan adalah perkara utama kepada individu walaupun mahu menjadi pempengaruh di mana-mana laman media sosial. Platform boleh berubah, tetapi pendidikan adalah segala-galanya,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Pempengaruh Instagram dan Facebook, Aina Wafi Abd Kadir, 28, pula berkata, sekiranya golongan pelajar tidak berminat untuk mencari ilmu negara akan ketandusan belia terpelajar.

Menurutnya, kandungan sosial media tanpa ilmu dan pendidikan akan memberi kesan negatif terhadap masyarakat.

“Hasilnya, anak muda kita sekarang cuma sukakan perkara yang ‘superficial’ dan tidak mempunyai keupayaan untuk memahami perkara lebih berat khususnya isu kemasyarakatan serta negara.

“Tak salah untuk menjadi influencer (pempengaruh), tetapi utamakan pelajaran dan kehidupan yang sebenar bukan dunia media sosial semata-mata,” jelasnya.