Pakaian jururawat ketat: MP Kuantan diminta tundukkan pandangan

Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kanan: Jimmy
Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kanan: Jimmy
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah menasihati Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor agar menundukkan pandangan sekiranya tidak berpuas hati dengan pakaian seragam jururawat.

Menurutnya, kenyataan pemimpin Pas itu yang mendakwa isu pakaian jururawat ketat adalah dangkal.

“Jika tidak boleh menerimanya, jangan pandang.

“Pesakit yang dimasukkan ke hospital hanya fikirkan tentang kesihatan dan kesejahteraan mereka serta tiada sesiapa yang waras datang ke hospital memerhatikan pakaian jururawat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Wan Razali ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, etika berpakaian jururawat wanita di kebanyakan fasiliti kesihatan awam di negara ini disifatkan tidak patuh syariah.

Beliau menggesa kerajaan melihat semula etika berkenaan supaya golongan itu diberi pilihan untuk memilih pakaian yang lebih sesuai.

Ujar Jimmy, kenyataan berkenaan isu pakaian seragam ketat yang dibuat ahli pimpinan Pas bukan sesuatu perkara baru.

Tambahnya, pengorbanan dan usaha yang disumbangkan oleh jururawat dalam menyelamatkan nyawa dan berkhidmat kepada negara perlu dihargai, bukan mempersoalkan pakaian mereka.

“Kita sedia maklum, Malaysia menghadapi kekurangan jururawat yang teruk sehingga menjejaskan kecekapan keseluruhan perkhidmatan perubatan negara kita.

“Saya menggesa beliau membuat permohonan maaf kepada 115,000 jururawat di negara ini selepas mengeluarkan kenyataan berhubung pakaian seragam mereka,” katanya.