10 juta notifikasi di media sosial, Putri Ariani terus cetus fenomena
BINTANG muda berbakat hebat, Putri Ariani yang mendapat Golden Buzzer pada penampilannya dalam program realiti, America’s Got Talent (AGT) pada minggu lalu terus mencetuskan fenomena.
Bukan sahaja menjadi kebanggaan negara asalnya, Indonesia, tetapi pemilik nama sebenar Ariani Nisma Putri, terus menarik perhatian peminat muzik dunia yang tidak henti-henti memberikan pujian dan menyatakan sokongan mereka kepada remaja cacat penglihatan itu.
Rakaman momen Putri Ariani diberikan Golden Buzzer daripada salah seorang juri AGT, Simon Cowell pada acara itu ditonton sebanyak 14 juta kali dalam tempoh masa dua hari.
Remaja berusia 17 tahun itu juga tidak putus-putus menerima kiriman mesej di laman media sosial menyebabkan telefon bimbitnya gagal berfungsi apabila dibanjiri lebih 10 notifikasi.
Perkara tersebut dikongsikan Putri Ariani ketika pertemuannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang turut berbangga dengan pencapaiannya baru-baru ini.
“Telefon bimbit saya tidak boleh digunakan lagi kerana dulu notifikasi yang diterima tidak banyak. Kalau banyak sekalipun sekitar 1,000 hingga 2,000 sahaja.
“Sekarang 10 juta lebih, makanya mati telefon bimbit,” respons Putri Ariani kepada soalan diajukan Jokowi dalam satu pertemuan di Istana Merdeka pada Rabu lalu.
Awal minggu lalu, Putri Ariani yang menyertai uji bakat AGT memperoleh Golden Buzzer daripada Cowell selepas menyampaikan lagu ciptaannya, Loneliness.
Dia juga memenuhi permintaan Cowell menyanyikan sebuah lagi lagu, Sorry Seems to Be the Hardest Word yang pernah dipopularkan oleh Elton John sambil memetik piano.
Persembahan itu meraih pujian ramai sehingga mencetuskan fenomena luar biasa buat penyanyi muda itu.