Syabu RM671,220 dalam teh cina dirampas

Fisol (dua dari kanan) menunjukkan dadah syabu yang dirampas dalam serbuan di Sungai Petani pada Rabu.
Fisol (dua dari kanan) menunjukkan dadah syabu yang dirampas dalam serbuan di Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis merampas 18 bungkusan 'teh cina' yang disyaki mengandungi dadah syabu dengan berat 18,645 gram dalam satu serbuan di sebuah rumah inap desa di Sungai Jagung, Sungai Petani pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, syabu bernilai RM671,220 itu dirampas selepas menahan dua lelaki di pekarangan kawasan rumah tersebut hasil intipan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, kedua-dua suspek itu sedang mengeluarkan sebuah kotak daripada bonet kenderaan jenis Honda City pada jam 11.55 malam.

"Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut menjumpai 18 bungkusan plastik berwarna hijau bertulisan ‘refined chinese tea’ berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 18,645 gram.

"Turut dirampas ialah kenderaan yang dinaiki suspek iaitu sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah kereta jenis Produa Bezza," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kedah pada Jumaat.

Jelas Fisol, hasil semakan mendapati, suspek berusia 34 tahun itu bekerja sebagai peniaga di Alor Setar memiliki tiga rekod jenayah manakala seorang lagi suspek berusia 35 tahun berasal dari Kuala Lumpur tidak bekerja serta turut memiliki dua rekod jenayah berkaitan dadah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, dadah tersebut mungkin dibawa dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan bekalan mampu digunakan untuk kegunaan 40,000 penagih.

"Bekalan ini dibawa untuk pasaran tempatan di kedah. JSJN sedang mendapatkan lagi maklumat ataupun risikan untuk kita ambil tindakan seterusnya," ujar beliau.

Tambahnya, JSJN Kedah turut menyita wang tunai berjumlah RM500 manakala dua suspek tersebut telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN dalam memastikan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah berbahaya berjaya di tumpaskan.

"Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis," kata Fisol lagi.