Separuh peruntukan IPR diagih kepada inisiatif Usahawan Tani

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kanan) di hadapan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). - Foto Bernama
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kanan) di hadapan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Ekonomi menjelaskan sebanyak 50 peratus daripada RM750 juta peruntukan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), diperuntukkan kepada Inisiatif Usahawan Tani (Intan).

Menurut kementerian itu juga, berdasarkan anggaran awal, sebanyak 20 peratus daripada peruntukan berkenaan diagihkan untuk Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) dan 30 peratus untuk Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Berdasarkan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu, sejumlah RM750 juta disediakan kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan Inisiatif IPR untuk tahun 2023.

Sehubungan itu, kementerian menyasarkan untuk membantu sekurang-kurang 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 terutama bagi tiga inisiatif rintis di bawah IPR iaitu Intan, Insan dan Ikhsan.

"Ketiga-tiga inisiatif rintis ini dikenal pasti bagi menjana pendapatan secara mampan dan pada masa sama membantu mengatasi isu utama yang dibangkitkan pada masa ini.

"Ini termasuk mengatasi isu kos sara hidup yang tinggi, isu import bahan makanan yang tinggi dan isu pergantungan yang tinggi kepada buruh asing," demikian menurut kementerian berkenaan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terenganu) yang ingin tahu mengenai pecahan peruntukan sebanyak RM750 juta bagi pelaksanaan IPR. - Bernama