Nyanyi lagu JDT jual epok-epok

Abam ale-ale gigih menjaja epok- epok di tepi laut Pontian, Johor.
Abam ale-ale gigih menjaja epok- epok di tepi laut Pontian, Johor.
A
A
A

PONTIAN - Lain daripada yang lain. Itu pendekatan yang digunapakai seorang remaja dan bapanya dalam melariskan epok-epok yang dijual bagi menarik perhatian pelanggan.

Ikmal Hanafi, 18, akan menyanyikan lagu penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Takzim ( JDT) dengan versi epok-epok yang diubah liriknya setiap kali berniaga.

Menurutnya, lagu berkenaan mula dinyanyikan oleh bapanya Jasmin Pannoot, 45, sehingga digelar Abam Ale-ale.

“Memang itu yang saya buat setiap hari, saya tolak troli dan laung kuat-kuat lagu ini. Nak meniaga kena jangan segan.

“Kalau nak berniaga memang kena buat kelainan sikit, sebab pelanggan akan ingat dan seterusnya menarik mereka untuk beli apa yang kita jual,” katanya. Ikmal berkata, ramai peniaga menggunakan trak makanan atau motosikal tapi dia lebih selesa memilih menggunakan troli sebagaimana dilakukan bapanya sejak dua tahun lalu.

“Saya memang minat berniaga, lepas SPM saya beritahu ayah, saya nak meniaga tolong dia.

“Jadi ini peluang saya dapat pengalaman selain dapat bantu ayah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikmal (kiri) bersama ayahnya, Jasmin yang mesra dipanggil Abam Ale-ale.
Ikmal (kiri) bersama ayahnya, Jasmin yang mesra dipanggil Abam Ale-ale.

Ikmal mengakui pada peringkat awal dia berasa kekok, namun sokongan daripada ayahnya membuatkan dia lebih bersemangat.

“Pernah troli saya terbalik lepas terlanggar lubang. Habis epok-epok berterabur atas jalan. Memang cukup sedih masa itu. “Jika hujan terlalu lebat saya akan berhenti dulu bimbang jika ada guruh atau petir. Lepas reda saya sambung balik meniaga,”katanya.

Epok-epok yang dijual Ikmal adalah hasil air tangan ibunya, Hafizah Mohd Salleh,45, dan ia dijual dengan harga bermula RM1.

Nekad berniaga sepenuh masa

Sementara itu, Jasmin Panoot yang merupakan bekas eksekutif jualan di salah sebuah syarikat telekomunikasi tersenyum puas melihat hasil yang diperoleh dari menjaja epok-epok sepenuh masa. Menurut bapa kepada tujuh cahaya mata itu, tidak kurang 800 biji epok-epok berinti telur, ayam, sardin dan daging dijual setiap hari. Katanya, walaupun menjaja dengan berjalan kaki tidak lagi menjadi pilihan peniaga namun dia selesa mencari rezeki dengan cara tersebut.

“Paling seronok, ada pelanggan yang beli epok-epok turut menyanyi dan minta bergambar dengan saya. Sebabnya, setiap kali meniaga, saya memang pakai baju jersi JDT.

“Lagu epok-epok yang saya nyanyikan seakan sudah melekat di hati orang ramai, apabila mereka turut menyanyi setiap kali ternampak kelibat saya dan anak menolak troli, ” katanya. Katanya, dia nekad berniaga secara sepenuh masa sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini saya buat secara sambilan tolong isteri jualkan epok-epok yang dia buat. “Tapi lama-lama rasa seronok pula meniaga. Itu yang saya buat keputusan berhenti kerja dan meniaga,” katanya. Selain itu, kenaikan harga barang terutama minyak masak memerlukan dia melipatkali gandakan usaha bagi mendapatkan jualan yang lebih banyak. “Jika jual banyak, barulah dapat pulangan semula kerana harga barang mentah seperti minyak masak naik mendadak sejak akhir tahun lepas,” katanya.

Guna sosial media tarik pelanggan

Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati keenakan epok-epok yang dihasilkan, Jasmin turut menjual melalui atas talian dan membuat khidmat penghantaran ke rumah pelanggan.

“Saya selalu buat hebahan di Facebook Abam Ale-Ale tentang lokasi di mana saya meniaga setiap hari bagi memudahkan pelanggan mendapatkan epok-epok,” katanya.

Jelasnya, sebagai peniaga dia perlu kreatif dan tidak mudah putus asa dengan apa jua yang dilakukan. Tambahnya lagi, sepanjang bulan Ramadan ini epok-epok Abam Ale-ale boleh didapati di Pekan Nanas, Stadium Mini Pontian dan Tambak.

“Saya merancang untuk berniaga di Bandar Baru Uda Johor Bahru. Menggunakan cara perniagaan yang sama iaitu meniaga menggunakan troli,” katanya.