Buku Nota My #QuranTime beri ketenteraman hati, faham al-Quran

Mohd Azli
Mohd Azli
A
A
A

SHAH ALAM - Buku Tadabbur Nota My #QuranTime juzuk 19 dan 20 memberi peluang kepada pembaca memahami ayat al-Quran seterusnya menjadi pedoman kepada pembaca mencapai kehidupan terbaik di dunia dan akhirat.

Editor Karya Bestari, Mohd Azli Mohd Ali berkata, buku itu sememangnya sesuai kepada mereka yang ingin mempelajari al-Quran lebih mendalam kerana kandungannya terperinci, selain memudahkan pembaca untuk lebih faham.

“Buku juzuk 19 dan 20 ini sama sahaja dengan buku-buku Tadabbur juzuk sebelum ini selain lebih banyak kisah-kisah terdahulu diceritakan dalam buku berkenaan. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kedua buku tersebut.

“Dengan memahami ayat-ayat al-Quran ini, maka bertambahlah ilmu serta ketenteraman hati orang yang membacanya,” katanya.

Mengulas mengenai keistimewaan buku itu, beliau berkata, dimuatkan juga QR Code bacaan ayat-ayat al-Quran daripada dua Qari terkenal iaitu Ustaz Tirmizi Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

“QR Code pembelajaran tajwid daripada kedua-dua Qari berkenaan turut disertakan dalam buku tersebut sekali gus menunjukkan keistimewaan yang dibawakan bagi setiap buku Tadabbur Nota My #QuranTime.

“Sambil membaca dan tadabbur malah orang ramai juga boleh mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Azli berkata, buku Tadabbur Nota My #QuranTime juzuk 19 mengandungi tiga suruh utama iaitu bermula surah al-Furqan ayat 21, keseluruhan surah as-Syu’ara dan surah al-Naml sehingga pada ayat 55.

Jelasnya, secara kesimpulan buku bagi juzuk 19 tersebut mempunyai tiga inti pati utama iaitu kepentingan takwa, kepentingan syukur dan ALLAH sebaik-baik perancang.

Mengenai buku juzuk 20 pula, beliau menyatakan ia mengandungi tiga surah iaitu surah an Naml (56–93), surah al-Qasas (1–88) dan aurah al-Ankabut (1–45).

Jelasnya, dalam ayat-ayat terakhir aurah an-Naml ini, orang ramai diseru untuk melihat tanda-tanda kebesaran ALLAH dan melihat sendiri kebesaran Maha Pencipta berbanding ‘tuhan-tuhan’ jadian yang manusia cipta.

“Surah ini berakhir dengan satu gambaran yang dahsyat mengenai Hari Akhirat. Moga-moga Allah SWT menyelamatkan kita daripada melihat seksaan tersebut.

“Jadi, bagi mereka yang mengikuti program My Quran Time 2.0, buku ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan selain mencatat nota-nota tambahan dalam buku tersebut,” ujarnya.

Buku yang mempunyai 365 muka surat itu boleh didapati di www.karangkrafmall.com atau di semua kedai buku berhampiran dengan harga sebanyak RM30.