Kereta hanyut bukan berlaku di Tapah

Tangkap layar video menunjukkan kejadian kereta dihanyutkan arus deras, polis bagaimanapun menafikan kejadian itu berlaku di Jalan Tapah - Cameron Highlands pada Rabu. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar video menunjukkan kejadian kereta dihanyutkan arus deras, polis bagaimanapun menafikan kejadian itu berlaku di Jalan Tapah - Cameron Highlands pada Rabu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TAPAH - Polis Perak menafikan kejadian sebuah pacuan empat roda telah dihanyutkan arus deras yang tular di media sosial pada Rabu, berlaku di Jalan Tapah - Cameron Highlands.

Video berdurasi 1 minit 54 saat itu memaparkan kenderaan yang dipandu mangsa cuba mengharungi arus deras sebelum tersangkut pada jambatan dan hilang dibawa arus.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, video itu mula dikesan di media sosial sekitar jam 6.30 petang, memaparkan kejadian yang didakwa berlaku berhampiran kawasan air terjun Lata Iskandar di sini.

"Ekoran dari video yang telah ditularkan itu, pihak polis telah menjalankan siasatan dan mengesahkan tiada sebarang kejadian berlaku di Jalan Tapah ke Cameron Highlands itu.

"Polis mengingatkan orang ramai supaya menghentikan penularan video berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Wan Azharuddin, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505b Kanun Keseksaan.