Layanan istimewa Ahmad Zahid lawat Najib tidak adil - LFL

Ahmad Zahid, Najib
Ahmad Zahid, Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Layanan istimewa diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika mereka melawat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Penjara Kajang dikecam.

Memetik laporan Malaysia Kini pada Rabu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, layanan istimewa yang diberikan kepada Najib adalah satu penghinaan terhadap prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Peruntukan sedemikian kepada Najib dan tahanan VIP lain hampir tidak pernah didengar.

“Kerajaan yang diamanahkan bagi menegakkan Perlembagaan mesti menjawab bagaimana perkara tersebut boleh dibenarkan," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu memaklumkan kepada perwakilan bahawa beliau dan Shamsul membawa makanan kegemaran Najib ketika melawat bekas perdana menteri itu dan sempat bersarapan bersama selama setengah jam.

Ahmad Zahid memaklumkan turut meluangkan masa 90 minit lagi bersendirian dengan Najib.

Dalam pada itu, Zaid berkata, tahanan dan banduan lain terpaksa bergelut untuk mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya atau pembebasan sementara ihsan apabila kehilangan orang tersayang.

Jelasnya, layanan terhadap tahanan dan banduan lain dianggap keji dan bersempadan dengan hampir tidak berperikemanusiaan.

Justeru, Zaid menggesa Putrajaya supaya membenarkan lawatan oleh rakan dan ahli keluarga banduan serta tahanan lain seperti diberikan kepada Najib.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali turut mempersoalkan lawatan dan layanan istimewa tersebut.

"Pelbagai persoalan kini timbul.

Antara paling penting adalah bagaimana pertemuan itu diluluskan?

"Tambahan pula, bolehkah pertemuan sehingga dua jam? Bukankah maksimum adalah 45 minit? Bagaimana boleh pula buat jamuan mini dalam penjara?” soalnya.

Muhammad Rafique berkata, pertemuan dalam penjara dengan banduan atau tahanan lazimnya terhad kepada ahli keluarga, peguam dan pihak berkuasa.

"Bukankah ahli keluarga hanya boleh dibenar buat demikian semasa perayaan?

“Bukankah kalau ahli keluarga hendak peluk salam cium pun susah dek kerana dipisahkan dengan cermin penghadang, cakap pun melalui telefon disangkut pada dinding pengadang?" ujarnya.