Penjawat awam diingat tak buat hantaran jelik, burukkan kerajaan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Penjawat awam di Perak diingatkan supaya jangan membuat pernyataan yang memalukan atau memburukkan kerajaan secara lisan atau bertulis di media sosial.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, perkara itu termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Menurut beliau, penggunaan media sosial tanpa batasan dan kawalan emosi akan menimbulkan implikasi negatif selain boleh mengganggu tumpuan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Tidak dapat dinafikan media sosial menjadi medium penting dalam mempengaruhi reaksi masyarakat serta membangkitkan impak positif atau negatif terhadap pelaksanaan dasar atau tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

"Bagi penjawat awam pula, kita tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan rakyat. Ada juga penjawat awam sendiri yang menggunakan media sosial sebagai ruang melempiaskan kata-kata jelik atau melontarkan kecaman serta sindirian terhadap kerajaan.

"Harus kita berwaspada bahawa setiap maklumat yang kita dapati itu tidak semestinya betul dan tepat. Perkara seperti ini wajar ditangani," katanya.

Saarani (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan APC kepada Mohammad Faiz Izzuddin Zulkarnain yang berkhidmat di Bahagian Korporat SUK Perak.
Saarani (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan APC kepada Mohammad Faiz Izzuddin Zulkarnain yang berkhidmat di Bahagian Korporat SUK Perak.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini pada Rabu.

APC 2022 melibatkan 67 penerima dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri Perak yang menerima sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000.

Ahmad Suaidi berkata, penjawat awam perlu menjadi pengguna yang bijak dan berintegriti dalam meningkatkan produktiviti serta kualiti kerja.

"Ilmu pengetahuan, personaliti diri, suasana kerja yang produktif serta prinsip moral yang jitu perlu dibentuk dengan sebaiknya agar segala pelaksanaan yang dipandu dapat membawa ke destinasi yang dituju.

"Penjawat awam terutama yang menerima APC supaya mengekalkan momentum hasil kerja walau apa jua dugaan dan cabaran supaya aspek pekerjaan yang dilakukan bergerak dengan pantas serta teratur," katanya.