Proses perolehan projek JKR dilaksana secara undi, terbuka

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan perolehan projek kecil dilakukan secara undian dan terbuka selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan/Perolehan Kerja (PP/PK) yang dikuatkuasakan Kementerian Kewangan.

JKR dalam satu kenyataan berkata, proses undian dipelawa melalui media rasmi kerajaan iaitu portal MyProcurement dan laman web jabatan atau papan kenyataan kerana kaedah perlaksanaan itu lebih cepat, adil serta telus.

“Ia dilaksanakan secara terbuka atau dalam talian bagi meningkatkan ketelusan proses pemilihan kontraktor termasuk menggunakan Jadual Kadar Harga Kecil yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang telus dan berkualiti kepada pelanggan, JKR telah melaksanakan projek-projek kerajaan dengan amalan Sistem Pengurusan Bersepadu atau SPB (ISO 9001/ ISO 45001, ISO ISO 14001, ISO 50001,ISO 37001 ) sejak tahun 2000.

“Proses pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) ISO 37001 dalam semua peringkat projek iaitu perancangan, reka bentuk, perolehan, pembinaan dan penyerahan,” katanya pada Rabu.

Pada 13 Jun lalu, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, cadangan memindahkan projek infrastruktur kecil bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke pejabat daerah disifatkan tiada pilih kasih.

Namun, pihak jabatan berkenaan memaklumkan kenyataan tersebut amat mengelirukan dan boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif orang awam kepada perkhidmatan JKR.

Sementara itu, JKR dalam kenyataan berkata, dengan memperoleh pencapaian 90 peratus dan ke atas dalam program Malaysian Government Performance Index (MyGPI) merupakan penilaian prestasi pengurusan organisasi serta pendigitalan perkhidmatan melalui tadbir urus yang baik ke arah reformasi sektor awam.

“JKR merupakan antara jabatan kerajaan yang memperoleh pencapaian 90 peratus dan ke atas dalam program MyGPI bersama-sama tiga kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

“Pencapaian MyGPI ini membuktikan bahawa JKR sentiasa berusaha dalam memberikan perkhidmatan awam yang cekap dan memenuhi ekspektasi rakyat,” katanya.