Terengganu siasat video tular konsert di dewan universiti

Tangkap layar video tular konsert yang dikatakan berlangsung di dewan sebuah universiti di Terengganu.
Tangkap layar video tular konsert yang dikatakan berlangsung di dewan sebuah universiti di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan menyiasat video tular memaparkan sebuah konsert yang dikatakan berlangsung di dalam dewan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri itu.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang laporan berhubung perkara itu.

Namun katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah universiti sekiranya melanggar garis panduan yang ditetapkan.

"Kita telah agihkan garis panduan syariah kepada semua jabatan-jabatan (di Terengganu), jadi tidak sepatutnya ia (konsert) berlaku di universiti.

"Lagipun ini di bawah jawatankuasa yang sama dan saya sendiri selaku pengerusi dan Exco pendidikan dan pengajian tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Kick-off Bsas Aeoronautics pesawat tanpa pemandu (UAV) di sini, pada Rabu.

Menurut Satiful, pematuhan terhadap garis panduan yang disediakan perlu walaupun konsert itu diadakan dalam kawasan persendirian.

"Saya rasa ia perlu ikut garis panduan yang sepatutnya walaupun dalam kawasan persendirian, ia masih lagi terikat dengan garis panduan dasar-dasar kerajaan negeri yang meletakkan asas syariah compliance (pematuhan syariah).

"Jadi, saya akan tanya balik, semak semula macam mana sebab saya baru dapat maklumat ini," ujar beliau.

Pada Rabu tular video berdurasi 37 saat memaparkan sebuah konsert yang dikatakan diadakan dalam dewan sebuah universiti di Terengganu.

Berdasarkan video tular itu, konsert tersebut dipercayai turut dihadiri oleh pelajar lelaki dan perempuan universiti berkenaan.