Motac perlu buat penilaian sebelum iktiraf bak kut teh

Mahathir
Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) perlu melakukan penilaian dan pertimbangan yang mendalam sebelum mengiktiraf bak kut teh sebagai salah satu makanan warisan negara.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, sebagai sebuah negara bangsa yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, Malaysia dikenali dengan kepelbagaian makanan tradisional yang mencerminkan keunikan serta keharmonian antara masyarakatnya.

“Dalam membahaskan perkara ini, kita perlu merujuk kepada latar belakang sejarah dan budaya kita.

“Sebagai sebuah negara majmuk, makanan yang dianggap sebagai warisan negara biasanya mempunyai hubungan yang mendalam dengan tradisi dan budaya masyarakat setempat serta diterima secara meluas oleh semua kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Motac, Datuk Seri Tiong King Sing yang bersedia mempertimbangkan makanan tradisional kaum Cina, bak kut teh untuk dimasukkan di dalam senarai warisan kebangsaan.

Mahathir berkata, melihat kepada latar belakang sejarah dan budaya bak kut teh, hidangan ini berasal dari komuniti Cina.

“Bak kut teh di Malaysia adalah adaptasi daripada hidangan serupa di Fujian, China. Oleh kerana itu, bak kut teh lebih tepat dianggap sebagai warisan negara China dan bukan sebagai warisan Malaysia secara keseluruhan.

“Sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan daging babi diharamkan bagi mereka, mengiktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Jelasnya, setiap keputusan yang dibuat haruslah tidak melanggar batas agama dan sensitiviti kaum.

“Memandangkan Malaysia adalah negara yang menghormati prinsip toleransi dan keharmonian antara pelbagai agama serta etnik, pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara mungkin memberi impak tidak baik dan boleh merosakkan industri makanan halal negara.

Ujarnya, terdapat banyak lagi makanan tradisional daripada komuniti Cina yang mungkin lebih sesuai untuk dianggap sebagai makanan warisan negara.

Pada 7 Jun lalu, ia menjadi tumpuan di Dewan Rakyat selepas kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Ia susulan pertanyaan daripada Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH) berhubung usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menjawab pertanyaan itu menjelaskan makanan yang dimasukkan di dalam makanan warisan seharusnya yang boleh dimakan dan dirasai semua kaum di negara ini.