Kartel punca harga satu barangan popular melambung

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Laporan awal terhadap kajian rantaian bekalan makanan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati wujud aktiviti mengaut keuntungan berlebihan sehingga 133 peratus, melibatkan satu barangan popular.

Tanpa mendedahkan produk itu, menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dikesan berlaku di peringkat pengimport dan pemborong.

Menurut Saifuddin, pengguna tiada alternatif lain kerana barangan itu 100 peratus diimport.

“Sahih, penemuan dalam kajian rantaian bekalan terhadap 10 barangan terpiliih saya akui wujudnya elemen orang tengah atau kartel.

“Menyedari perkara ini saya telah memanggil industri terbabit, dan saya tanya apakah harga ketika barangan itu keluar daripada tempat mereka? Dan industri terbabit berikan saya satu senarai harga bukan lima tahun kebelakangan lepas.

Kemudian apabila saya bandingkan dengan data Majlis Harga Barang Negara di bawah KPDNHEP, saya tengok harga akhir kepada pengguna itu tinggi.

“Jadi, kenaikan itu berlaku kerana kartel atau orang tengah yang merancang harga itu secara sistematik dan mereka menguasai wilayah tertentu melalui sistem yang telah (established) lama,” katanya pada sidang media di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.

Kajian melibatkan kerjasama antara KPDNHEP, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Perangkaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Dalam kajian rantaian itu kami dapat menemui secara tepat kerana kastam turut terlibat kerana ia berkaitan dengan import dan kastam ada semua senarai pengimport yang direkodkan dalam pangakalan data Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Bagaimanapun buat masa ini, kita belum boleh dedahkan jenis barangan berkenaan tunggu penguat kuasa KPDNHEP ‘ziarah’ premis mereka terlebih dahulu, nanti kita akan beritahu kepada rakyat jenis barangan dan tindakan yang telah diambil.

"Jika perkara ini berjaya, kita mungkin akan luaskan kepada 30 hingga 40 barangan pengguna, hal ini semua bertujuan melindungi pengguna,” jelasnya.