Tergamak buang bayi bawah kolong rumah

Bayi lelaki ditemukan di bawah kolong sebuah rumah.
Bayi lelaki ditemukan di bawah kolong sebuah rumah.
A
A
A
PAPAR - Seorang bayi cukup sifat ditemukan di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Sapat di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, bayi lelaki terbabit dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan tanpa sebarang pakaian oleh pemilik rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, saksi seorang lelaki berusia 52 tahun memaklumkan dia terdengar tangisan seorang bayi di bawah kolong rumahnya ketika bangun hendak ke tandas.

"Selepas hampir 10 minit tangisan bayi itu tidak berhenti barulah saksi memberanikan diri untuk turun ke bawah kolong dan terdapat satu objek sedang bergerak-gerak.

"Saksi terus ke arah objek tersebut dan mendapati ia adalah seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan dalam keadaan tanpa pakaian di atas tanah bawah kolong rumahnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, saksi kemudian memanggil isterinya dan meminta membawa tuala untuk menyelimutkan bayi itu.

"Saksi kemudian menghubungi pihak polis sebelum bayi itu dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut.

"Bayi itu dipercayai dilahirkan belum sampai 24 jam dan selepas diperiksa, ia dalam keadaan stabil serta dimasukkan di wad kanak-kanak Hospital Papar. Pihak Jabatan Kebajikan daerah Papar juga telah dimaklumkan mengenai kes ini," katanya.

Sehubungan itu, Kamaruddin berkata, pihaknya sedang giat mengesan kesan suspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana telah sengaja menyembunyikan kelahiran bayi.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Sarjan Noor Azura Linggisan di talian 016-8262067," katanya.