Kesihatan budak sesat dalam hutan Amazon 'memuaskan'

Wanita Pertama Colombia, Veronica Alcocer (kiri) melawat kanak-kanak yang sesat 40 hari di hospital tentera di Bogota. - AFP
Wanita Pertama Colombia, Veronica Alcocer (kiri) melawat kanak-kanak yang sesat 40 hari di hospital tentera di Bogota. - AFP
A
A
A

BOGOTA - Empat kanak-kanak Orang Asli yang berjaya diselamatkan selepas sesat lebih 40 hari dalam hutan hujan Amazon Colombia menunjukkan pemulihan 'memuaskan'.

Adik beradik Leslyn berumur 13 tahun, Soleiny (9), Tien Noriel (5) tahun dan Cristin (setahun), kini menerima rawatan di hospital tentera di Bogota selepas mereka didapati mengalami kebuluran dan dehidrasi teruk pada Jumaat selepas terselamat nahas kapal terbang sejak 1 Mei lalu.

Ibu mereka meninggal dunia selepas kemalangan itu yang turut mengorbankan dua orang dewasa lain yang ikut bersama menaiki pesawat ringan tersebut.

Jurucakap Institut Kebajikan Keluarga Colombia, Adriana Velasquez dalam video yang dihantar kepada media menyatakan kanak-kanak itu kelihatan 'bersemangat' pada Isnin.

"Mereka telah mewarna, melukis dan mula bercakap," tambahnya

Rakan sejawatan Velasquez, Astrid Caceres memberitahu W Radio bahawa Leslyn mengalami demam manakala Soleiny sedang dipantau susulan reaksi terhadap makanan yang di makannya.

Jelasnya, Tien Noriel masih terlalu lemah untuk berjalan semasa anggota penyelamat menemui keempat-empat mereka selepas mencari pada keluasan 2,500 kilometer persegi, tetapi menemui mereka pada jaran lima kilometer daripada pesawat terhempas itu.

Adik bongsu mereka, Cristin masih dalam rawatan rapi atas sebab umurnya masih kecil dan keempat-empat mereka sering tidur akibat mengalami kepenatan melampau semasa sesat dalam hutan.

Kanak-kanak itu dijangka ditempatkan di hospital selama dua hingga tiga minggu lagi. - AFP