Kuasa tular 'selesaikan' lambakan 24 tan tembikai

Orang ramai berpusu-pusu membeli tembikai selepas tular di laman sosial Facebook pada Selasa.
Orang ramai berpusu-pusu membeli tembikai selepas tular di laman sosial Facebook pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Ribuan orang khususnya sekitar Temerloh berpusu-pusu membeli tembikai selepas tular seorang ejen buah di sini didakwa menjadi mangsa penipuan hingga menyebabkan kerugian hampir RM20,000.

Orang ramai mula membanjiri gerai yang terletak berhampiran Taman Jaya 4 di sini selepas perkongsian adik ejen terbabit di Facebook pada Selasa meminta sokongan masyarakat untuk membantu menghabiskan kira-kira 24 tan metrik buah tersebut yang dijual dengan harga murah, RM10 untuk empat biji bagi saiz kecil.

Mohd Shukri Abdul Mazak
Mohd Shukri Abdul Mazak

Ejen terbabit, Mohd Shukri Abdul Mazak, 40, mengakui terkejut orang ramai mula membanjiri gerai itu bermula jam 10 pagi.

"Terima kasih atas sokongan padu orang ramai dan ini sangat membantu saya untuk menghabiskan jumlah buah yang ada.

"Saya sebenarnya kali pertama berdepan insiden sebegini selepas hampir 30 tahun dalam bidang ini.

"Pelanggan dari Melaka menempah tidak jadi mengambil buah yang saya ambil dari kebun di Bukit Ibam, Muadzam dengan alasan saiznya kecil sedangkan ini adalah gred C, (cuci mangkuk) memang begini," dakwa beliau kepada Sinar Harian pada Selasa.

Lambakan kira-kira 24 tan tembikai.
Lambakan kira-kira 24 tan tembikai.

Beliau mengakui kesilapannya tidak mengambil deposit daripada pelanggan tersebut kerana sudah banyak kali berurusan dengan individu terbabit.

"Pelanggan sebenarnya tempah untuk 10 tan metrik tembikai pada Ahad tapi kesilapan timbangan menyebabkan saya terpaksa mengambil hingga dua kali di kebun tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 24 tan.

"Pelanggan terbabit tidak jawab panggilan telefon, balas WhatsApp menyebabkan saya pula berhutang dengan pekebun itu hampir RM20,000.

"Saya sudah bayar sebanyak RM3,500 dan bakinya kira-kira RM16,000 perlu dijelaskan dan syukur jualan dan sokongan orang ramai hari ini (Selasa) banyak membantu," ujar Mohd Shukri.

Mohd Shukri bersyukur dengan sambutan hebat orang ramai untuk membantu menghabiskan jualan buah tersebut.
Mohd Shukri bersyukur dengan sambutan hebat orang ramai untuk membantu menghabiskan jualan buah tersebut.

Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Rahimah Manan, 42, tidak melepaskan peluang membeli buah tersebut selepas tular di laman sosial.

"Ada tengok dekat Facebook, jadinya saya datang ke sini datang nak dapatkan buah tembikai," jelas wanita tersebut.

Seorang lagi pelanggan, Yusran Mustafa, 44, mengakui datang membeli buah tersebut untuk memberikan sokongan kepada Mohd Shukri.

"Ini sebagai tanda sokongan orang Temerloh kepada beliau (Mohd Shukri) selain harga murah yang ditawarkan," katanya yang bekerja sendiri itu.