Sultan Johor kurnia sumbangan peribadi kepada mangsa ribut

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyampaikan sumbangan peribadi baginda hari ini, kepada mangsa yang terjejas akibat kejadian ribut di Mersing, tengah malam tadi.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ‘Royal Press Office’ dalam laman Facebooknya, Baginda bertitah, sumbangan itu adalah untuk meringankan beban kos mangsa untuk membaiki semula rumah mereka.

Sumbangan disampaikan ketika baginda melawat dua daripada 28 rumah yang rosak akibat kejadian itu di Kampung Pengkalan Batu, Mersing hari ini.

Mengiringi baginda ialah Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Turut menghulurkan bantuan kepada semua mangsa ialah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Mersing, Kapten Nurnajibah Abdullah, kejadian kira-kira 12.30 tengah malam tadi itu melibatkan 28 buah rumah yang diduduki 29 keluarga, di sembilan buah kampung di Mersing.

Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Bahagia melibatkan 11 buah rumah; Kampung Penyabong (lima rumah); Kampung Semanyir (tiga rumah); Kampung Pengkalan Batu, Kampung Triang Besar dan Kampung Semaloi (masing-masing dua rumah) dan Kampung Makam, Kampung Tg Genting dan Kampung Tenglu Laut (masing-masing sebuah rumah).

“Rumah-rumah mangsa mengalami kerosakan di bahagian atap, kayu dan dinding rumah, namun mangsa berada dalam keadaan baik kerana rumah masih boleh diduduki,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: