Perbincangan ganjaran insurans kepada pemandu berhemah di fasa akhir

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengenai cadangan memberi diskaun bayaran premium insurans kereta kepada pemandu berhemah kini di fasa terakhir, kata menterinya, Anthony Loke.

Beliau berkata cadangan ganjaran itu berbentuk pengurangan premium insurans kepada pemandu yang mempunyai rekod bersih daripada saman atau sebarang kesalahan jalan raya.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan PIAM dan beberapa syarikat insurans. Kementerian juga akan bekerjasama dengan pihak JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan polis trafik bagi mendapatkan data pemandu.

“Katakan pemandu itu tiada saman tertangguh dalam tempoh setahun, mereka tidak pernah melakukan kesalahan jalan raya, kita boleh berikan ganjaran berbentuk mata (point) kepada mereka. Mata itu mungkin berbentuk insentif dari segi pengurangan premium insurans.

“Tetapi perkara ini belum muktamad. Sekarang sudah berada di tahap perbincangan terakhir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran kempen ‘Bosch Automotive Aftermarket ‘Drive For Life’ For Safer Cars and Safer Roads’ di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anthony berkata indeks kemalangan jalan raya pada 2017 menunjukkan sejumlah 533,875 kemalangan dilaporkan dengan kematian 6,740 orang akibat kemalangan di jalan raya.

Beliau berkata walaupun perangkaan menunjukan penurunan enam peratus jumlah kematian berbanding 7,152 orang pada tahun 2016 namun ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Perkhidmatan Pemasaran, Bosch Automotive Aftermarket for Asia Pacific & Southeast, Marcio Coelho berkata, kempen tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu tentang kepentingan penyelenggaraan kenderaan secara berskala dan penggunaan alat ganti berkualti.

Berdasarkan tinjauan oleh syarikat itu tahun lalu, katanya, lebih 50 peratus pemandu Malaysia kurang pengetahuan asas tentang penyelenggaraan kereta dan kesan terhadap penumpang dan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, 70 peratus kereta tersadai disebabkan kegagalan bateri, kurang 50 peratus pemandu dan hanya satu peratus pemandu wanita mengetahui cara untuk menyelesaikan masalah kereta semasa berlaku kerosakan.

Beliau berkata kempen tersebut selama tiga tahun itu dengan kerjasama syarikat minyak, Petron dilaksanakan dalam tiga fasa untuk mendidik pemandu.

Kempen ini bermula dengan tawaran perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 25 mata secara percuma sebelum pemandu memulakan perjalanan yang jauh, katanya.

Beliau berkata pemeriksaan keselamatan percuma itu termasuk pemeriksaan bateri, paras cecair seperti minyak enjin, bendalir brek, stereng, bunga dan tekanan tayar dan ketebalan brek pad. - Bernama