Usahawan digalak terokai potensi industri halal

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof - Foto Bernama
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menggalakkan usahawan khususnya dalam kalangan masyarakat Islam mengambil peluang menerokai potensi industri halal dengan mengeluarkan produk makanan dan minuman, pakaian, kosmetik dan farmaseutikal.

Katanya, permintaan produk halal sedang meningkat dalam pasaran di seluruh dunia, malahan Bank Dunia turut memperakui nilai pasaran halal termasuk kewangan Islam adalah sebanyak AS$7 trilion.

Pengetahuan daripada sudut syariah adalah antara kelebihan yang dimiliki oleh usahawan Islam di negara ini yang dilihat mampu mengembangkan lagi potensi produk halal mereka, bukan hanya untuk pasaran tempatan tetapi juga ke peringkat antarabangsa.

"Kita mahu menjadi masyarakat pengeluar produk halal dan kita tidak mahu orang Islam hanya menjadi pengguna sahaja. Kita perlu mengambil peluang menerokai pasaran produk halal... Jangan lepaskan peluang itu kerana kita ingin menjadikan Malaysia sebagai hab halal," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Santai Usahawan Wanita bersama menteri di sini hari ini.

Kementeriannya juga bersedia membantu usahawan di Sabah yang ingin terlibat dalam rantaian pembekalan produk daging proses halal, namun, beliau menyarankan ia diusahakan secara berkelompok oleh komuniti usahawan bagi membolehkan ia dieksport dalam skala besar sekali gus memberi pulangan lumayan.

Mengenai program itu, Redzuan berkata, ia adalah saluran terbaik untuk kerajaan mendekati usahawan di peringkat akar umbi selain dapat mengetahui lebih lanjut keperluan mereka dalam mengembangkan lagi perniagaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: