APG 2023: Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah

Agong dan permaisuri bangga dengan pencapaian atlet Para dalam APG Kemboja 2023 di Phnom Penh baru-baru ini. - Foto Agensi
Agong dan permaisuri bangga dengan pencapaian atlet Para dalam APG Kemboja 2023 di Phnom Penh baru-baru ini. - Foto Agensi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen negara atas kejayaan membanggakan di temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja, baru-baru ini.

Turut menzahirkan ucapan tahniah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara menerusi catatan di Facebook pada Isnin memaklumkan Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dengan pencapaian kontinjen negara yang berjaya membawa pulang 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Majlis Paralimpik Malaysia, jurulatih dan individu di belakang tabir atas kejayaan yang membanggakan para pemimpin dan pelbagai lapisan rakyat.

"Ia telah membuktikan sekali lagi bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, kita mampu bersaing dan berjaya melepasi sasaran kita," menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar prestasi hebat atlet para negara bukan sahaja dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan di kejohanan akan datang.

Kontinjen para negara yang diwakili 144 atlet menamatkan cabaran kali ini dengan cemerlang apabila meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa untuk menduduki tangga keempat carta pingat.

Sebelum ini, kontinjen negara menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada APG 2023 di Phnom Penh. - Bernama