Amirudin nafi bubar DUN Selangor 19 Jun

Amirudin (tujuh dari kiri) merasmikan pada Pelancaran perkhidmatan Trek Rides Gombak pada Isnin.
Amirudin (tujuh dari kiri) merasmikan pada Pelancaran perkhidmatan Trek Rides Gombak pada Isnin.
A
A
A

GOMBAK - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 19 Jun ini.

Amirudin berkata, 19 Jun merupakan tarikh beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Disebabkan itu menurutnya, ada pihak mengaitkan tarikh tersebut akan dipilih sebagai tarikh pembubaran DUN Selangor.

"19 Jun ini lengkap lima tahun saya angkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor. Itu sebab ada orang agak saya nak bubar 19 Jun.

"Tak ada (bubar), itu hanya tarikh saya angkat sumpah," katanya pada Pelancaran perkhidmatan Trek Rides Gombak pada Isnin.

Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Azmin Ali ketika berceramah dalam program kempen PN di Tanjong Karang minggu lalu mendakwa DUN negeri itu akan dibubarkan pada 19 Jun.

Dalam pada itu Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau sedang menunggu perkenan daripada Tuanku mengenai tarikh pembubaran DUN.

"Belum ada tarikh lagi namun saya telah menghadap Tuanku pada minggu lepas dan perkara tersebut sudah di bawah perhatian Baginda.

"Tuanku akan tetapkan tarikh tersebut cuma mungkin ada beberapa urusan dan semakan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tarikh bubar diputuskan, " katanya.

Sementara itu Amirudin berkata, Trek Rides Gombak menawarkan perkhidmatan awam meliputi 71 hentian sekitar Gombak antaranya Wira Damai, Kampung Laksamana, Kampung Sungai Tua dan Sungai Kertas.

Ujarnya, Gombak merupakan lokasi ketiga selepas Puchong dan Bangsar yang akan ditawarkan secara percuma selama tiga bulan bermula Isnin.

"Kita tengok maklum balas, jika perkhidmatan ini berjaya maka akan diperluaskan ke lebih banyak lagi lokasi di Selangor.

"Kerajaan negeri turut pertimbangkan pemberian subsidi demi menggalak orang ramai menggunakan awam bagi mengatasi kenderaan peribadi atas jalan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Trek Rides Gombak membolehkan pengguna membuat tempahan melalui Trek App menawarkan perkongsian pengangkutan awam menggunakan mikro van.

Ia turut diperkenalkan sebagai usaha menyelesaikan permasalahan jaringan pengangkutan first mile last mile.