Haaland, Ronaldo sama hebat

Haaland bersama trofi Liga Juara-Juara yang dimenangi City pada Ahad. - Foto AFP
Haaland bersama trofi Liga Juara-Juara yang dimenangi City pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

PENYERANG Manchester City, Erling Haaland berjaya memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan status penjaring terbanyak menyamai rekod Cristiano Ronaldo 15 tahun lalu.

Manchester City menutup musim 2022/2023 dengan kemenangan treble selepas menewaskan Inter Milan dalam aksi final Liga Juara-Juara pada Ahad.

Selain Liga Juara-Juara, City turut memenangi kejuaraan EPL dan Piala FA yang menyaksikan pasukan kendalian Pep Guardiola itu menjadi pasukan Inggeris kedua yang memenangi treble dalam satu musim selepas Manchester United pada 1999.

Haaland menjadi watak penting dalam kejayaan pasukan memenangi tiga gelaran dengan penyerang berusia 22 tahun itu menjaringkan 52 gol dalam 53 perlawanan pada musim pertamanya bersama City.

Haaland juga telah berjaya mendahului senarai penjaring terbanyak EPL dengan 36 gol dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA).

Ketajaman Haaland turut dirasai di Eropah apabila bekas pemain Borussia Dortmund itu menjadi penjaring prolifik dalam Liga Juara-Juara dengan 12 gol.

Ia sekali gus menyaksikan penyerang kelahiran Norway itu menjadi pemain kelab EPL kedua yang mendominasi penjaring terbanyak England dan Liga Juara-Juara, memenangi dua pertandingan serta menjadi Pemain Terbaik FWA dalam satu musim.

Dia mengikut jejak langkah Ronaldo yang melakukannya bersama Manchester United pada musim 2007/2008.

Bagaimanapun, Haaland menyifatkan kejayaan City musim ini bukan kerana dia seorang selain turut memberi kredit kepada semua elemen dalam kelab yang sama-sama berjuang untuk memenangi trofi.

"Kami semua berkongsi rasa yang sama untuk berjaya setiap hari. Kami ada untuk satu sama lain dan begitulah sepatutnya jika kami ingin berjaya," katanya.