Himpunan Solidariti tanda sokongan kepada Sanusi

A
A
A

SUNGAI PETANI - Pemuda Pas dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Kedah menyatakan pendirian dan berdiri teguh bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta akan memastikan negeri Jelapang Padi itu terus diperintah oleh PN.

Ketua Pemuda Pas Negeri Kedah, Nasron Othman berkata, atas faktor itu, satu Himpunan Solidariti kepada Muhammad Sanusi telah diadakan sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan diterajui Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu.

Menurutnya, himpunan turut disertai kira-kira 700 peserta yang berkonvoi sejak 4 petang bermula dari Pinang Tunggal ke seluruh Parlimen Sungai Petani sebelum berakhir di Padang Awam Taman Keladi di sini.

"Tujuan diadakan Himpunan Solidariti ini adalah sebagai tanda sokongan kepada Menteri Besar Kedah dan kita mengharapkan agar PN terus diberi kepercayaan memimpin negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN),"katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jentera Pilihanraya Pemuda PN dan Santai Anak Muda (Samudera) Parlimen Sungai Petani dekat sini pada Ahad.

Hadir sama, Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Hanafi Jamaludin dan Timbalan Ketua Pemuda PN Kedah, Safuan Sabari.

Pada masa sama, Nasron berkata, kehadiran penyokong di luar jangkaan menunjukkan gelombang anak muda yang sentiasa menyokong PN.

Beliau mengakui bahawa gelombang berkenaan bukan sahaja dapat dilihat di negeri Kedah namun turut berlaku di negeri-negeri lain.

"PN diyakini akan kekal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka dan Sidam dalam kawasan Parlimen Sungai Petani, seterusnya merampas kembali DUN Bakar Arang pada PRN nanti,"katanya.

Selain itu, katanya, ancaman serta serangan pihak lawan tidak sesekali melemahkan semangat PN untuk terus mara mencapai kemenangan dalam PRN tidak lama lagi.